FARHANA  bersama bapa, Rashidi Inou, melihat keratan akhbar digital mengenai kisahnya ketika ditemui di Kampung Tanjung Batu. FOTO Khairull Azry Bidin.
FARHANA bersama bapa, Rashidi Inou, melihat keratan akhbar digital mengenai kisahnya ketika ditemui di Kampung Tanjung Batu. FOTO Khairull Azry Bidin.
Junaidi Ladjana

Lahad Datu: Jika disebut nama Farhana Rashidi, pasti ramai tidak mengenali siapa empunya pemilik nama itu.

Namun, Farhana pernah digelar Puteri Tanduo kerana dilahirkan pada 1 Mac 2013, hari sama tercetus pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas Sulu pimpinan Agbimuddin Kiram.

Dilahirkan di Hospital Lahad Datu, kanak-kanak itu turut digelar sebagai Puteri Daulat oleh penduduk tempatan berikutan Operasi Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac 2013 di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu bagi memerangi pengganas Sulu.

Ketika ditemui wartawan NSTP, Junaidi Ladjana dan jurugambar Khairull Azry Bidin di rumahnya di Tanjung Batu, di sini, bapanya, Rashidi Inou, 46, menceritakan semula bagaimana anak bongsu daripada dua beradik itu mendapat gelaran sedemikian.

Rashidi berkata, Farhana atau nama manjanya Baby, dilahirkan di Hospital Lahad Datu kira-kira jam 3 pagi pada 1 Mac 2013 dengan berat hampir tiga kilogram secara normal.

“Hari sama kira-kira jam 10 pagi, saya mendapat tahu dua perwira negara (Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabaruddin Daud, 46, dari unit khas VAT69) gugur ditembak pengganas Kiram di Kampung Tanduo.

“Selepas Farhana dilahirkan, saya bersama isteri dan bayi pulang ke rumah di Tanjung Batu. Walaupun dimaklumkan mengenai pertempuran itu, saya tetap mahu pulang ke rumah kerana ingin menyelamatkan harta benda,” katanya.

FARHANA pernah digelar Puteri Tanduo. FOTO Khairull Azry Bidin.
FARHANA pernah digelar Puteri Tanduo. FOTO Khairull Azry Bidin.

Selepas itu, Rashidi berkata, walaupun pengganas sudah dikepung oleh pasukan keselamatan, dia membuat keputusan untuk melarikan diri kerana bimbang keselamatan isteri, anak sulung dan bayi baru dilahirkan.

“Dalam keadaan isteri masih keletihan selepas bersalin dan berpantang, kami berjalan pada waktu malam ke pusat penempatan di Dewan Cenderawasih untuk mencari perlindungan.

“Sebaik tiba di pusat penempatan dengan membawa bayi yang baru berusia beberapa hari, ada penduduk menyarankan supaya diberikan nama Puteri Daulat dan sehingga kini ia dipanggil dengan gelaran itu,” katanya.

Farhana sehingga kini masih tidak mengetahui peristiwa di sebalik gelaran yang diberikan oleh penduduk kampung kepadanya.

“Saya belum menceritakan kisah di sebalik nama Puteri Daulat kepadanya... dia masih kanak-kanak dan nanti tiba masanya saya beritahu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 11:25 AM