Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suasana sedih menyelubungi Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-216, apabila tragedi berdarah Kampung Tanduo, Lahad Datu yang berlaku hampir sedekad lalu dipersembahkan semula dalam bentuk persembahan pantomin oleh sekumpulan anggota polis.

Lebih menyentuh perasaan apabila tiga anak kepada Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat iaitu Mohd Akmal Amuruddin, 15, Noor Muhammad Aqil, 11, dan Noor Aqib Syahid, 10, yang turut membuat kemunculan dalam persembahan itu.

Turut bersama dalam pantomin itu ialah anak kepada Sarjan Sabarudin Daud, Haziq Wahiduzzaman, 28, dan Hareq Zafri, 21.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kelihatan sebak manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menitiskan air mata menyaksikan pantomin itu.

Pantomin menceritakan tragedi pengusiran kumpulan yang mendakwa pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari selatan Filipina itu dipersembahkan oleh lebih 80 anggota polis, yang kebanyakannya terbabit dalam tragedi pada 2013.

ANWAR sebak ketika menyaksikan pantomin Op Daulat pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
ANWAR sebak ketika menyaksikan pantomin Op Daulat pada Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Pada 1 Mac 2013, dua anggota polis, Zulkifli dan Sabarudin terkorban manakala 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan itu dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo.

Keesokan harinya, enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap di perkampungan air Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna.

Selain Zulkifli dan Sabarudin, turut terkorban dalam tragedi berdarah itu ialah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Asisten Superintendan Michael Padel, Sarjan Abdul Azis Sarikon, Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Detektif Baharin Hamit, Koperal Salam Tugiran dan Prebet Ahmad Hurairah Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 11:43 AM