CHONG Wei. FOTO Rosli Rahmat
CHONG Wei. FOTO Rosli Rahmat
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dapat memberikan dia pengecualian daripada beraksi dalam semua 12 kejohanan Tahap 2 atau sebelum ini dikenali Siri Super pada 2018.

Chong Wei yang juga pemain nombor dua dunia berkata, dengan usianya kini 35 tahun, adalah mustahil untuk dia menyertai semua kejohanan yang diwajibkan itu apatah lagi dia juga perlu beraksi dalam beberapa lagi kejohanan utama termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Berdasarkan peraturan BWF, semua pemain 10 terbaik dunia wajib untuk beraksi dalam 12 kejohanan Tahap 2 dan jika gagal menyertainya tanpa alasan kukuh, pemain boleh didenda.

“Jika saya tetap beraksi dalam semua 12 kejohanan itu, secara keseluruhannya saya perlu beraksi dalam 19 kejohanan pada 2018. Ini termasuk tujuh lagi kejohanan lain iaitu Kejohanan Berpasukan Asia, Sukan Komanwel, Piala Thomas, Kejohanan Asia, Sukan Asia, Kejohanan Dunia dan Siri Super Akhir.

“Dengan usia saya sekarang, sukar untuk saya bermain dalam 19 kejohanan setahun...lainlah kalau sekarang saya berusia 25 tahun dan pastinya tiada masalah untuk saya. Saya sudah bincangkan perkara ini dengan barisan jurulatih dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Malah, saya juga sudah mengadakan perbincangan dengan BWF memohon pengecualian daripada badan induk itu. Saya harap mereka boleh pertimbangkannya,” kata Chong Wei.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu berkata, dia perlu memberi keutamaan kepada kejohanan lebih penting khususnya Sukan Komanwel Gold Coast (April), Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar (Februari), Piala Thomas di Bangkok (Mei) dan Sukan Asia Indonesia (Ogos).

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, fokus utama saya adalah Sukan Komanwel dan Sukan Asia selain Piala Thomas. Kejohanan selebihnya saya akan tentukan selepas perbincangan lanjut dengan barisan jurulatih.

“Selepas perbincangan awal dilakukan dengan BWF, mereka bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan saya ini,” kata Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 7:37 AM