SOON Kit mahu semua pemain main peranan untuk sumbang mata.
SOON Kit mahu semua pemain main peranan untuk sumbang mata.
Helmi Talkah


KETUA jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit enggan memberikan tekanan ke atas anak buahnya biarpun mereka dilihat menjadi prospek terbaik menghadiahkan dua mata kepada skuad negara pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Februari depan.

Bagi Soon Kit, semua pemain yang disenaraikan termasuk acara perseorangan bagi menghadapi kejohanan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018 itu perlu memainkan peranan masing-masing bagi menghadiahkan kemenangan kepada pasukan.

“Ini kejohanan berpasukan, jadi semua pemain perlu memainkan peranan. Pemain perseorangan juga penting dan mereka mempunyai kemampuan untuk menyumbang mata kepada pasukan.

“Jika saya katakan dua beregu perlu sumbang mata, saya bimbang ia akan memberi tekanan kepada mereka. Apa yang paling penting sekarang adalah persiapan yang dilakukan bagi menghadapi kejohanan itu,” kata Soon Kit.

Semalam, bekas pakar beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek berpendapat, acara beregu akan memainkan watak penting buat skuad negara pada kejohanan di Alor Setar itu berdasarkan situasi semasa pemain perseorangan lelaki.

Beliau berkata, hanya jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei dilihat mampu menyumbang mata berbanding pemain lain dan untuk mencapai kemenangan, dua beregu negara perlu memenangi perlawanan masing-masing.

Mengulas lanjut, Soon Kit memaklumkan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sudah hampir pasti disenaraikan bagi menghadapi kejohanan di Alor Setar manakala pasangan ketiga masih lagi dalam proses pemilihan.

V Shem-Wee Kiong yang kembali disatukan selepas berpisah selama tiga bulan kembali menjalani latihan hari ini dan Soon Kit akan memantau perkembangan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

“Untuk saya menilai mereka ketika sesi latihan, agak sukar kerana situasinya tidak sama seperti dalam kejohanan. Jadi masih terlalu awal untuk saya memberi komen... mereka akan beraksi pada kejohanan Masters Thailand (9 hingga 14 Januari) dan ia medan terbaik untuk saya menilai prestasi mereka.

“Bagi Ee Yi-Yew Sin pula, mereka pasangan kedua terbaik negara. Mereka juga akan dinilai pada kejohanan di Thailand nanti, saya percaya dengan kemampuan mereka,” kata Soon Kit yang membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 7:48 PM