NANA (kiri) dan Jac. FOTO Aswadi Alias
NANA (kiri) dan Jac. FOTO Aswadi Alias
Ramlah Zainal

Nama Siti Nordiana terus melonjak naik dalam industri muzik tanah air sejak menjuarai program realiti Gegar Vaganza musim kedua.

Bukan saja undangan persembahan tidak pernah putus, malah banyak pihak mula membuka mata dengan bakat besarnya dalam bidang nyanyian.

Justeru, tidak hairanlah Siti Nordiana diberi kepercayaan berganding dengan penyanyi hebat Jaclyn Victor menerusi lagu berjudul Nisan Cinta ciptaan Hael Husaini, Ezra Kong dan Mike Chan.

Secara peribadi, Siti Nordiana yang lebih mesra disapa Nana, 33, mengakui pada mulanya dia bimbang untuk berganding dengan penyanyi hebat seperti Jaclyn yang sudah meraih pelbagai pengiktirafan dalam bidang muzik.

“Maklumlah vokal Jaclyn sangat hebat dan genre lagu kami juga berbeza kerana dia lebih ‘urban’ dan saya pula dikenali dalam kalangan golongan pertengahan dan luar bandar.

“Namun kali pertama mendengar melodi lagu Nisan Cinta, saya melihat ia ada kekuatan dan terus menerima tawaran untuk buat lagu duet ini,” katanya.

Nana berkata, dia juga berdepan cabaran untuk merakamkan lagu itu.

“Sebelum ini saya pernah berduet dengan Syura tetapi menerusi lagu irama tradisional.

Saya akui lagu ini susah untuk dinyanyikan kerana karakternya kuat. Proses rakaman lagu duet ini juga dibuat secara berasingan tetapi apabila digabungkan, ia menjadi harmoni.

“Sebenarnya lagu duet adalah saling melengkapi dan komposer juga sudah memberi sentuhan lagu ini sebaik mungkin,” katanya.

Apapun, kata Nana, lagu duet dengan Jaclyn itu meletakkannya pada satu tahap yang lain.

“Saya juga ingin membuktikan kemampuan vokal bukan sekadar menyanyi lagu mendayu tetapi lagu yang lebih mencabar. Saya juga mendapat maklum balas positif daripada peminat termasuk dari luar negara yang menyukai gandingan saya dan Jaclyn.

“Saya juga berharap lagu ini akan berjaya melangkah ke pentas yang lebih besar nanti,”katanya.

Lebih menarik, lagu itu juga menghiasi drama rantaian 100 episod Dendam Aurora terbitan Global Station yang sudah bersiaran di Astro Prima.

NANA (kiri) dan Jac. FOTO Aswadi Alias
NANA (kiri) dan Jac. FOTO Aswadi Alias

Dalam perkembangan lain, pemenang Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 ini juga merancang untuk menghasilkan single solo terbaru ciptaannya sendiri tidak lama lagi.

“Saya yakin untuk menghasilkan lagu solo ciptaan sendiri selepas sambutan pada single Terus Mencintai sebelum ini,”katanya.

Jac puas hati duet dengan Nana

Tiada siapa dapat menidakkan kehebatan vokal bekas juara program realiti Malaysian Idol ini.

Buat peminat Jaclyn, pastinya lagu Nisan Cinta ini dinantikan peminatnya.

Menurut penyanyi bervokal lantang ini, dia juga puas hati gandingan dengan Nana dalam lagu Nisan Cinta walaupun baru kali pertama mereka bekerjasama.

“Ia kali pertama saya dan Nana bekerjasama dalam lagu duet ini. Walaupun vokal dan genre muzik kami berbeza tetapi saya percaya dengan kemampuan komposer untuk menggandingkan kami berdua menerusi lagu Nisan Cinta ini.

“Sesi rakaman lagu ini dibuat secara berasingan pada akhir Mei tahun lalu. Saya juga masuk ke studio untuk proses rakaman keseluruhan lagu ini.

“Selepas itu, baru Nana merakamkan pula lagu itu sepenuhnya dan melalui proses yang sama. Menyusul selepas itu, barulah komposer pecahkan dan bahagikan bahagian mana yang sesuai untuk bahagian saya dan Nana sebelum lengkap menjadi lagu,” katanya,

Ditanya mengenai kualiti lagu itu, kata Jaclyn, dia sangat berpuas hati dengan hasilnya.

“Saya yakin lagu Nisan Cinta mampu pergi jauh dalam bidang muzik tanah air. Saya juga melihat peminat Nana juga menyukai gandingan kami berdua.

“Saya juga merancang untuk turun padang dan buat sesi promosi bersama Nana kerana sebelum ini saya berehat seketika dari bidang seni kerana bersalin anak kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 3:58 AM