Syanty Octavia Amry

Debaran Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) kian terasa. Semestinya ramai tidak sabar menantikan siapakah yang akan bergelar juara.

Sebanyak 12 lagu akan berentap bagi mendapatkan gelaran juara, naib juara, tempat ketiga, vokal terbaik dan persembahan terbaik.

Penyanyi Altimet yang menyanyikan lagu Bunga turut mengumumkan tidak akan membuat persembahan dan tempatnya digantikan trio Defam.

Bersiaran di TV3, AJL akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad, 3 Februari depan jam 9 malam.

Diacarakan Sherry Al Hadad dan Alif Satar, finalis akan mempersembahkan 12 lagu terbaik yang layak mara ke acara kemuncak berprestij itu.

Berikut adalah perkongsian debaran dan keterujaan barisan finalis yang kini rancak melakukan persiapan menjelang AJL33 tidak lama lagi.

Semakin (Siti Sarah)

Pertama kali beraksi di pentas AJL selepas 20 tahun berada dalam industri, Sarah berkata, perasaannya kini bercampur baur.

Debaran makin terasa apabila ramai meletakkan harapan tinggi untuk melihat lagu Semakin menang.

“Seperti kebanyakan penyanyi lain, AJL adalah impian saya. Berada di tahap ini sudah cukup bermakna malah pasukan saya tidak putus memberikan kata semangat dan turut sama bekerja keras.

“Saya akui takut dan gementar tetapi akan berusaha memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Bunga (Ara Johari)

Lagu ciptaan Hang Nadim, Laq, Kadok dan lirik oleh Hang Nadim ini dianggap amat menguji vokal sekali gus buat Ara berdebar untuk beraksi pada malam AJL nanti.

Menurut Ara, lagu ini bernada tinggi dan bukan mudah untuk menyampaikannya.

Walaupun sering menyanyikan lagu itu, Ara berkata auranya berbeza untuk pertandingan.

“Saya akan menggigil satu badan sebelum memulakan persembahan hingga mengganggu nyanyian.

“Saya berharap keadaan ini tidak berlaku pada malam AJL nanti,” katanya.

Kau Pun Sama (Syamel)

Mempertaruhkan lagu berunsur joget, Syamel menganggap ini rezeki untuknya bertanding sekali lagi di pentas AJL.

“Saya tahu lagu ini agak mencabar kerana perlu menyanyi sambil menari. Disebabkan itu saya mendapatkan khidmat Alam Wakaka yang akan membantu memantapkan gerak tari.

“Kali pertama berada di pentas berprestij ini saya akui takut. Saya akan fokus memberikan persembahan terbaik.

“Saya juga akan bersenam di gim untuk memantapkan stamina. Selain itu, berlatih menyanyi sambil menari,” katanya.

Sampai Bila (Misha Omar)

Misha bersyukur lagu Sampai Bila berjaya melonjakkan kembali namanya di persada seni sehingga layak mara ke AJL33.

Lagu ini dicipta Sharon Paul khusus buat Misha manakala liriknya pula ditulis Ahmad Fedtry Yahya dan Shah Shamshiri.

Biarpun bukan kali pertama bertanding di pentas AJL, Misha akui perasaannya kali ini sangat berbeza.

Malah dia mengakui buntu memikirkan konsep persembahan yang bakal dibawa pada AJL nanti.

“Pertama kali saya berasa buntu memikirkan konsep persembahan. Jika sebelum ini idea datang mencurah-curah, kali ini sebaliknya.

“Mujur saya dibantu pelakon dan penggiat teater, Dr Norzizi Zulkifli,” katanya.

Haram (Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah) / Hajat (Hael Husaini)

Persembahan Hael kali ini agak mencabar apabila dia akan mempersembahkan dua lagu termasuk duet bersama Dayang Nurfaizah.

Malah, pada AJL32 yang lalu, lagu Jampi turut dinobatkan sebagai juara.

Berkongsi perkara itu, Hael berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan tekanan yang bakal dihadapi sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian melakukan persiapan untuk mempersembahkan lagu Haram dan Hajat.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal tekanan kerana ia hanya akan buat saya hilang fokus.

“Saya kena banyakkan latihan kerana akan menyampaikan dua lagu pada malam AJL nanti,” katanya.

Sementara itu, Dayang berkata, ini adalah persembahan duet pertamanya untuk AJL, ia nyata berbeza kerana sebelum ini beraksi secara solo.

“Saya senang bekerjasama dengan Hael. Tidak dinafikan apabila ada rakan duet, tekanan itu kurang kerana kami dapat kongsi bersama-sama.

“Malah, idea pun lebih banyak apabila berdua,” katanya.

Luluh (Khai Bahar)

Kali kedua beraksi di pentas AJL, Khai tekad tidak mahu mengulangi kesilapan lalu.

Perasaan gemuruh yang menguasainya sebelum ini mencacatkan persembahan sekali gus berasa ralat dengan keadaan itu.

“Harap kali ini saya dapat buang rasa gemuruh.

“Saya perlu yakinkan diri dan berikan persembahan terbaik sekali gus meninggalkan memori indah buat peminat setia yang menyokong perjuangan seni saya selama ini,” katanya.

Bunga (Defam)

Diberi kepercayaan menyanyikan lagu Altimet, pastinya satu penghargaan buat trio tiga wanita ini.

Terkenal dengan persembahan tarian yang bertenaga, Defam berharap dapat menampilkan kelainan dalam AJL kali ini.

“Terharu apabila Altimet memilih kami untuk menyanyikan lagunya pada AJL nanti.

“Kami sangat teruja, namun dalam masa sama risau kerana menjadi penyanyi rap wanita di pentas AJL.

“Apapun kami akan bawa sesuatu yang berbeza kerana tidak mahu dibandingkan dengan persembahan Altimet,” kata Azira.

Jatuh Bangun (Haqiem Rusli dan Aman Ra)

Bagi menguatkan stamina ketika beraksi di atas di pentas, Haqiem mengamalkan petua banyak minum air. Ini kerana apabila sudah sibuk dengan latihan dia akan cepat letih dan dahaga.

“Sudah jadi rutin saya akan minum banyak air. Sekurang-kurangnya lapan gelas sehari agar tekak tidak kering.

“Mungkin kerana cepat letih saya perlukan air untuk tenaga selain senaman dan tidur yang cukup.

“Saya dan Aman akan lebih fokus terhadap vokal masing-masing walaupun lagu ini memerlukan kami menari. Bagi kami vokal perlu diberi keutamaan,” katanya.

Di Matamu (Sufian Suhaimi)

Mengalami demam dan batuk teruk sehingga beri kesan kepada paru-paru, Sufian sedikit pun tidak mengalah sebaliknya akan terus rancak menjalani sesi latihan agar persembahannya nanti berjalan lancar.

“Alhamdulillah, kesihatan saya beransur pulih. Sudah beberapa hari suara saya kembali okay. Mungkin keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan saya sakit teruk.

“Apa pun, persiapan sudah dibuat dan insya-Allah minggu depan saya akan kembali buat latihan vokal dan fokus sehinggalah menjelangnya AJL33,” katanya.

Nisan Cinta (Siti Nordiana dan Jaclyn Victor)

Pertama kali lagu duet mereka berjaya ke final AJL33. Pastinya mereka teruja dan perlu melakukan banyak perkara bagi memastikan keserasian ketika mengalunkan lagu Nisan Cinta nanti.

Bagi Jac dan Nana keserasian amat penting apabila membabitkan persembahan duet. Keserasian akan buat mereka selesa di atas pentas dan persembahan dapat direalisasikan seperti mana yang diharapkan.

“Kami banyak berbincang dengan pengurusan bagi memastikan selesa dengan vokal di samping memperbaiki gandingan ini.

“Sasaran kami bukanlah vokal kerana kami tidak mahu tertekan. Dapat ke final pun sudah cukup baik.

“Apa yang pasti kami akan cuba melakukan yang terbaik. Kami yakin semua finalis akan tampilkan persembahan mengagumkan tetapi hanya akan ada satu pemenang saja,” kata Jac.

Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer)

Gandingan serasi vokal Amylea dan Kaer menerusi lagu Tak Pernah Hilang mendapat pujian ramai. Ia bukan saja menjadi siulan ramai bahkan terpilih sebagai lagu runut drama popular Nur yang menjadi fenomena tahun lalu.

Menurut Amylea dan Kaer, mereka memberi penekanan kepada penghayatan ketika menyampaikan lagu ini di pentas AJL33 nanti.

“Kami akan memberikan persembahan yang penuh penghayatan tanpa elemen drama atau gimik.

“Ini kerana lagu Tak Pernah Hilang memerlukan penghayatan yang mendalam dan ia sangat mencabar buat kami berdua.

“Kami jadikan persembahan Aizat Amdan ketika membawakan lagu Pergi pada malam AJL 24 sebagai rujukan,” kata Amylea.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 6:30 AM