WAN Kamaruzzaman (berjubah)  ditenangkan saudara mara manakala Rosnani (kanan) dipimpin anak sulungnya,  Wan Mohd Rifaie Wan Kamaruzzaman, 33, sebaik tiba di Bilik Forensik Hospital Kemaman. FOTO Rosli Ilham
WAN Kamaruzzaman (berjubah) ditenangkan saudara mara manakala Rosnani (kanan) dipimpin anak sulungnya, Wan Mohd Rifaie Wan Kamaruzzaman, 33, sebaik tiba di Bilik Forensik Hospital Kemaman. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


BAPA kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Pekan, semalam, Wan Mohd Kamaruzzaman Wan Muhamad, 56, tiba di Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk memandikan jenazah anak bongsunya, Wan Mohd Mahathir Wan Mohd Kamaruzaman, 14, hari ini.

Wan Mohd Kamaruzzaman tiba bersama isterinya, Rosnani Ibrahim, 53, di hospital itu 3.50 petang tadi.

Difahamkan, suami isteri itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi dari Madinah kerana mengerjakan umrah.

Selepas sehari tiba di Madinah, pasangan berkenaan mendapat berita menyayat hati apabila tiga anak kesayangan mereka, Wan Nor Afifah Wan Mohd Kamaruzzaman, 28,Wan Nor Athirah Wan Mohd Kamaruzaman, 27, dan Wan Mohd Mahathir Wan Mohd Kamaruzaman, 14, meninggal dunia dalam kemalangan terbabit.

Dalam kejadian 5.45 pagi itu, tiga beradik itu bersama ibu saudara, Salmah Ibrahim, 56 dan anak Salmah, Aliyani Zawawi, 25, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) terjunam ke dalam parit sebelum disedari orang ramai,kira-kira 7 pagi.

Mereka dalam perjalanan pulang selepas menghantar kedua ibu bapa mereka mengerjakan umrah di KLIA.

Bagaimanapun,dalam kemalangan itu, Salmah dan Aliyani yang cedera dikejarkan untuk mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Jenazah tiga beradik itu disolatkan di Masjid Jamek Kampung Binjai sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di kampung itu selepas Maghrib ini.

Berita berkaitan

Terima berita ketika tawaf

[UPDATE] 'Tak tahu bagaimana nak maklumkan...'

3 beradik ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 7:56 PM