LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini. Rabuan (gambar kecil). FOTO Adzlan Sidek
LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini. Rabuan (gambar kecil). FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“ARWAH pernah bertanya saya cara untuk menjadi atlet terbaik. Semangatnya dalam sukan akan sentiasa diingati.”

Begitu kata bekas pelari pecut negara, Datuk Rabuan Pit mengenai cucu saudaranya, Nur Afini Roslan, 14, yang maut terkena bilah pisau mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, hari ini.

Rabuan berkata, pertanyaan itu disuarakan arwah ketika kali terakhir mereka bertemu pada sambutan Aidilfitri, tahun lalu.

“Arwah panggil saya Pak Wan dan selalu bertanya macam mana nak berlari laju. Dia kata nak jadi seperti Pak Wan termasuk bergelar anggota polis," katanya ketika menghadiri majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung FELDA Kelamah, Gemas, malam ini.

Hadir sama, bapa Nur Afini, Roslan Samat, 55.

Sementara itu, Roslan berkata, dia dan ahli keluarga reda dengan kejadian berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan sekolah.

"Saya terima ketentuan Allah SWT dan berserah kepada takdirNya. Saya mengucapkan penghargaan terhadap semua pihak yang membantu sehingga jenazah arwah dikebumikan," katanya.

Menurut Roslan, anaknya aktif dalam sukan memanah sejak berusia 10 tahun.

Katanya, anak keempat daripada lima beradik itu mewakili Pahang dalam sukan berkenaan sebelum dia berpindah ke daerah ini, bulan lalu.

"Saya baru bercadang mendaftarkan arwah sebagai atlet memanah Negeri Sembilan dan tidak menyangka kejadian ini berlaku," katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Nur Afini, semoga rohmu damai di sana'

[UPDATE] Pemandu traktor mesin rumput ditahan

'Kakak kawan bermain, bergaduh saya'

Ada peraturan potong rumput sekolah

Ajal pelajar terkena bilah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 12:09 AM