Mayat mangsa dibawa ke Hospital Limbang untuk bedah siasat. Proton Persona dinaiki mangsa tersadai selepas dihanyutkan arus (gambar kecil). FOTO ihsan bomba
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Limbang untuk bedah siasat. Proton Persona dinaiki mangsa tersadai selepas dihanyutkan arus (gambar kecil). FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


GURU wanita disahkan maut ketika cuba menyelamatkan diri selepas kereta dinaiki bersama suami dihanyutkan arus deras di Jambatan Bakol, Jalab Kubong di Limbang, hari ini.

Mangsa, Norsiah Yusop, 52, disahkan maut akibat lemas manakala suaminya berusia 54 tahun selamat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, mangsa yang juga penumpang Proton Persona bersama suaminya dalam perjalanan dari Tedungan menuju Limbang.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, arus banjir deras menyebabkan kereta dinaiki pasangan itu dihanyutkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 2.50 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian terus menggerakkan aset menyusuri arus ke hutan berhampiran jambatan berkenaan.

Katanya, mangsa bersama suaminya dapat keluar dari kereta namun arus yang kuat menyebabkan mereka terpisah.

"Mangsa cuba diselamatkan suaminya namun hanyut dibawa arus deras.

"Suaminya berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa ditemui pasukan bomba dan penduduk kampung jam 5.03 pagi dalam jarak satu kilometer dari pos kawalan bomba," katanya.

Beliau berkata, kereta pasangan itu pula ditemui tersadai di tepi tebing tidak jauh dari laluan berkenaan.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Limbang untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, operasi awal pagi tadi dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.

Beberapa daerah di Sarawak seperti Kuching, Bintulu dan Miri diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan hujan berterusan selain fenomena air pasang besar yang berlaku sejak awal minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 2:13 PM