Dua mangsa diselamatkan anggota bomba selepas kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan air deras di Jalan Pengkalan Berangan, Marang. FOTO ihsan bomba
Dua mangsa diselamatkan anggota bomba selepas kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan air deras di Jalan Pengkalan Berangan, Marang. FOTO ihsan bomba
Zatul Iffah Zolkiply


TINDAKAN pantas dua lelaki keluar melalui tingkap kereta menyelamatkan nyawa mereka selepas kenderaan itu dihanyutkan air deras dalam kejadian di Jalan Pengkalan Berangan, Wakaf Tapai, Marang, pagi ini.

Dalam kejadian 6.55 pagi itu, Muhammad Syahir Aqil Rosman, 20, dari Batu Buruk, Kuala Terengganu dan Muhammad Zulfaqar Zahari, 18, dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu dikatakan dalam perjalanan dari Ajil, Hulu Terengganu menghala ke Pulau Kerengga, Marang.

Muhammad Syahir Aqil berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika hujan dan sebaik tiba di selekoh, kereta dipandunya dihanyutkan kepala air dan air pasang yang datang secara tiba-tiba.

Katanya, pada mulanya, dia dapat mengawal kenderaan dan mahu berpatah balik namun air deras menghanyutkan kereta ke dalam kawasan semak.

"Sebelum itu, memang tiada apa-apa tanda amaran dan sebab itu saya berani lalu di jalan berkenaan.

"Kereta dihanyutkan sejauh lima meter sebelum tersangkut pada pokok, jika tidak mungkin kami dihanyutkan lebih jauh lagi.

"Sebaik tersangkut, enjin kereta juga mati dan kami berdepan kesukaran untuk membuka tingkap sebelum berjaya keluar dan duduk di atas bumbung," katanya.

Katanya, dia kemudian menghubungi bomba untuk bantuan.

"Ini pengalaman pertama kami berdepan situasi ini yang mana selama ini kami hanya melihat dan membaca pengalaman orang saja.

"Sepanjang tempoh menunggu, kami tidak putus berdoa agar pasukan penyelamat segera menemui kami memandangkan air naik terlalu cepat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai Suriati Ariffin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 7 pagi sebelum dia bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dua mangsa berada di atas kereta dengan kedalaman air mencecah 0.4 meter.

"Kita terpaksa berjalan hampir 500 meter untuk menyelamatkan mangsa berikutan jalan berkenaan dinaiki air selain keadaan air yang deras.

"Sebaik menghampiri mereka, kita memakaikan jaket keselamatan sebelum membawa mereka ke kenderaan bomba yang ada di tepi jalan.

"Kita mengambil masa hampir 20 minit untuk menyelamatkan mereka dan mangsa berjaya diselamatkan 7.40 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 12:02 PM