JONATHAN diselamatkan selepas botnya nyaris karam di Sungai Limbang.
JONATHAN diselamatkan selepas botnya nyaris karam di Sungai Limbang.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Limbang: Berpantang maut sebelum ajal. Itu berlaku kepada lelaki warga emas dari Amerika Syarikat yang terselamat untuk kali kedua selepas botnya nyaris karam di Sungai Limbang, di sini, petang kelmarin.

Jonathan Wayne, 71, yang menggunakan sebuah bot dikatakan hanyut akibat arus deras sebelum botnya nyaris karam berhampiran dermaga Jabatan Kastam Diraja Malaysia, jam 4.40 petang.

Namun nasib menyebelahi lelaki terbabit apabila bot berkenaan dapat dikawal ke kawasan dermaga sebelum mendapatkan bantuan pasukan bomba untuk mengeluarkan barangannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan, pada jam 4.48 petang.

KEADAAN kapal  milik Jonathan.
KEADAAN kapal milik Jonathan.

Menurutnya, enam anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan tindakan susulan sejurus menerima maklumat berkenaan.

“Ketika anggota bomba tiba di dermaga berkenaan, bot milik lelaki warga emas itu sudah diikat di tiang di situ dan dalam keadaan hampir karam.

“Lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggota bomba kemudiannya membantu mengangkat barangan dalam bot berkenaan,” katanya.

Difahamkan, pada tahun lalu, Jonathan diselamatkan pasukan BBP Limbang selepas ‘rumah bot’ yang dibina daripada bahan terbuang nyaris karam akibat dihanyutkan arus deras Sungai Limbang.

Ketika kejadian, dia dalam perjalanan menyusuri sungai di negeri ini untuk merakam pemandangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 3:34 AM