Norizuan Shamsuddin


LELAKI dalam keadaan bogel dikesan mencuri beg tangan selepas memecah masuk sebuah kediaman di Jalan Dewan Simpang Tiga, Gombak, semalam.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahman, 27, berkata, kejadian disedari berlaku apabila ibunya bangun dari tidur untuk pergi menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan, pada 5.30 pagi.

"Apabila ibu bangun untuk bersiap ke masjid, dia mendapati pintu belakang rumah terbuka dan terdapat kesan umpil serta terdengar bunyi tapak kaki seperti orang melarikan diri.

"Ibu segera mengejut saya bersama tiga adik, memaklumkan kejadian dan meminta kami memeriksa bahagian belakang rumah.

"Susulan itu, saya memeriksa bahagian belakang rumah dan menemui pisau serta kayu disyaki digunakan suspek bagi mengumpil pintu rumah kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Rahman berkata, semakan dilakukan mendapati beg tangan yang mengandungi pakaian, wang tunai RM300, telefon pintar dan dokumen peribadi milik adik perempuannya berusia 21 tahun turut didapati hilang dipercayai dicuri oleh suspek.

"Susulan kejadian saya menyemak rakaman CCTV milik jiran yang tinggal di hadapan rumah bagi mengenalpasti kegiatan suspek.

"Semakan CCTV mendapati seorang lelaki dalam keadaan berbogel memikul beg tangan dipercayai milik adik dan melarikan diri selepas memecah masuk kediaman kami.

"Saya bersama keluarga kemudian membuat laporan di Balai Polis Gombak Setia, di sini, pada hari sama dan kami berharap siasatan lanjut dapat dilakukan bagi menangkap suspek," katanya.

Kejadian turut menjadi tular apabila rakaman video CCTV yang memaparkan suspek berbogel terbabit dimuat naik oleh keluarga mangsa di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 6:28 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan lelaki dalam keadaan berbogel dipercayai memecah masuk rumah mangsa. FOTO Ihsan Rahman
RAKAMAN CCTV menunjukkan lelaki dalam keadaan berbogel dipercayai memecah masuk rumah mangsa. FOTO Ihsan Rahman