PEARLY dan Thinaah kecewa selepas tewas kepada beregu Bulgaria. FOTO Aswadi Alias
PEARLY dan Thinaah kecewa selepas tewas kepada beregu Bulgaria. FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Impian peminat badminton negara untuk melihat Pearly Tan-M Thinaah melangkah sejauh mungkin di Terbuka Malaysia tidak menjadi kenyataan apabila beregu wanita nombor satu negara itu tumpas kepada wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kelapan seakan tidak menjadi di gelanggang selepas kalah straight set 19-21, 14-21.

"Hari ini memang tidak menjadi buat kami, sudah tentu pemain lawan beraksi dengan baik. Mereka dapat mengawal tiupan angan dengan baik," kata Pearly.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kedah itu mengakui dia tidak mahu memikirkan mengenai apa yang dikatakan orang lain sebaliknya akan kembali untuk berusaha lebih keras selepas ini terutama menjelang kejohanan minggu depan di Terbuka India.

Sementara itu, Thinaah mengakui bahawa pasangan lawan yang juga gandingan adik-beradik berjaya memberi tekanan kepada mereka terutama di set kedua.

"Kami tidak melakukan bahagian kami dengan baik. Selepas ini kami harus pulang dan melihat kembali bahagian mana yang perlu diperbaiki.

"Kekalahan hari ini kami sudah anggap sebagai sejarah dan akan memberikan fokus untuk kejohanan seterusnya. Hari ini memang semuanya tidak menjadi. Kami harus berbincang dan menganalisis semula dengan baik," kata pemain kelahiran Selangor itu.

Sementara itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan kedua selepas menang 21-11, 15-21, 21-19 ke atas gandingan Jepun, Kyohei Yamashita-Naru Shinoya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 4:43 PM