AKSI Pearly dan Thinaah ketika menentang beregu Taiwan. FOTO BAM
AKSI Pearly dan Thinaah ketika menentang beregu Taiwan. FOTO BAM
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas dilabel mengecewakan oleh Akademi Badminton Malaysia (ABM) apabila tumpas di pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lalu, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah menunjukkan sinar kebangkitan.

Mereka yang menghuni ranking kelapan dunia berjaya meloloskan diri ke suku akhir Terbuka India sebentar tadi selepas menang aksi pusingan kedua ketika berdepan pasangan Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun.

Bagaimanapun, pilihan kelapan kejohanan itu diheret sehingga ke aksi rubber set sebelum mencatat kemenangan 21-14, 16-21, 21-6.

"Saya rasa gembira (dengan kemenangan hari ini) bagaimanapun masih banyak lagi perkara yang harus dipertingkatkan," kata Thinaah sebaik perlawanan tamat di Dewan Tertutup KD Jadhav.

Ini b kali pertama juara Terbuka Perancis dan pemenang emas Sukan Komanwel tahun lalu itu berdepan Chia Hsin-Chun Hsun yang menghuni ranking ke-32 dunia.

Pearly-Thinaah dijadual bertemu pemenang perlawanan antara pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di suku akhir nanti.

Di Terbuka Malaysia baru-baru ini, Pearly-Thinaah tersingkir di pusingan pertama, selepas tewas di tangan gandingan adik-beradik Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 19-21, 14-21 dalam tempoh 31 minit.

Keputusan itu menyaksikan mereka tidak dapat menyamai pencapaian tahun lalu yang memperlihatkan mereka mara ke pusingan kedua sebelum ditewaskan gandingan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 19-21, 14-21.

Selepas saingan di India, Pearly-Thinaah dijadual menyertai Masters Indonesia di Jakarta dari 24 hingga 29 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 2:41 PM