VETTEL ketuai senarai catatan sesi pagi. FOTO AFP
VETTEL ketuai senarai catatan sesi pagi. FOTO AFP
AFP

Suzuka: Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel menguasai sesi latihan Grand Prix Jepun pagi semalam sebelum hujan menyaksikan sesi petang berlangsung dalam keadaan kelam kabut.

Lewis Hamilton mencatat masa terpantas di sesi kedua selepas gagal menyerlah di sesi pagi.

Ditangguhkan selama 50 minit akibat hujan, sesi petang pada mulanya dilihat bakal dibatalkan kerana litar Suzuka dipenuhi air yang menenggelamkan sebahagian besar kawasan perlumbaan.

Selepas ia diteruskan, Hamilton memacu jentera Mercedes untuk mencatat masa terpantas, satu minit, 48.719 saat.

Vettel mengetuai senarai catatan sesi pagi yang sedikit terganggu apabila jentera Toro Rosso yang dipandu Carlos Sainz terbabas ke tembok keselamatan.

Catatan 1:29:166 yang dilakukan Vettel hampir 20 saat lebih pantas berbanding Hamilton di sesi petang dan pemandu Jerman itu gagal di saingi mana-mana pelumba.

“Kami tidak mencapai keputusan terbaik sejak beberapa perlumbaan terakhir tetapi saya rasa kami mempunyai sebab untuk lebih yakin ketika ini,” kata Vettel yang menamatkan aksi di kedudukan keempat di GP Malaysia minggu lalu.

“Saya yakin kami akan mampu membuktikan apa yang boleh kami lakukan pada perlumbaan sebenar minggu ini.”

Tidak seorangpun daripada pesaing Hamilton yang berjaya menamatkan sesi petang apabila Lance Stroll terbabas dan jentera Williams yang dipandunya hampir menghentam penghadang litar.

Hanya empat pelumba lain yang berjaya merakam masa dengan Esteban Ocon dari Force India mencatat masa paling hampir dengan Hamilton iaitu 1:49.518.

“Ia hari yang menyeronokkan,” kata Hamilton. “Jentera saya berada dalam keadaan lebih baik berbanding di Malaysia. Ia kembali seperti asal dan saya sudah bersedia untuk berlumba.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:40 AM