Reuters

Suzuka, Jepun: Pendahulu kategori pelumba Nico Rosberg menakluk petak utama perlumbaan Formula Satu Grand Prix Jepun selepas berjaya mengatasi rakan sepasukan di Mercedes Lewis Hamilton pada sesi kelayakan semalam.

Rosberg menguasai setiap sesi menjelang perlumbaan sebenar hari ini dan mengesahkan kejaguhannya di Litar Suzuka menerusi catatan terpantas satu minit, 30.647 saat, 0.013s lebih pantas berbanding Hamilton.

“Saya gembira dengan keputusan ini,” kata Rosberg. “Saya beraksi baik sepanjang minggu ini dan jentera saya juga cukup seimbang. Saya seronok, selesa dan faktor itulah yang mendorong saya untuk mencatat masa terpantas kali ini.”

Kedudukan di petak utama yang ke-30 sepanjang karier Rosberg itu juga menjadi yang ketiga berturut-turut buat pelumba Jerman itu di Suzuka dan pasukannya bakal merangkul gelaran pengeluar jika Rosberg menamatkan perlumbaan selaku juara.

Bermula dari petak utama juga memberi peluang kepada Rosberg untuk menjarakkan pendahuluan 23 mata berbanding Hamilton dengan berbaki empat perlumbaan selepas Jepun.

Hamilton disebut-sebut untuk kembali merampas kedudukan selaku pendahulu kategori pelumba ketika aksi di Malaysia, tetapi masalah enjin menyaksikan dia berputih mata.

Hamilton berusaha untuk menduduki petak utama pada sesi kelayakan ketiga dan juara dunia tiga kali itu dilihat hampir berjaya melakukannya selepas mendahului Rosberg di cubaan pertama.

Bagaimanapun, keupayaan Rosberg tidak boleh dipertikaikan dan dia bangkit memintas Hamilton di pusingan terakhir sekali gus merampas kedudukan di petak utama.

“Banyak perkara yang perlu saya lakukan minggu ini.. jika mengambil kira semua faktor itu, saya sepatutnya tidak boleh kecewa walaupun bakal memulakan perlumbaan di petak kedua,” kata Hamilton yang pernah memenangi perlumbaan di petak kedua, dua tahun lalu dan dia mahu mengulangi pencapaian berkenaan sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:05 AM