PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton pada sesi latihan bebas di Litar Suzuka, Jepun. FOTO EPA
PEMANDU Mercedes, Lewis Hamilton pada sesi latihan bebas di Litar Suzuka, Jepun. FOTO EPA
AFP

SUZUKA, Jepun: Lewis Hamilton mencetus tamparan psikologi terhadap impian Sebastian Vettel meraih kejuaraan Formula Satu apabila pemandu Britain itu mengungguli sesi latihan bebas bagi Grand Prix Jepun, hari ini.

Namun penyandang juara dunia itu, yang mendahului 50 mata di depan musuhnya dari Ferrari dengan berbaki lima perlumbaan musim ini, terselamat daripada malapetaka pada sesi pagi di Suzuka apabila dia berjaya mengelak perlanggaran dengan pemandu Toro Rosso, Pierre Gasly.

Hamilton mencatat masa terpantas satu minit 28.691 saat sebelum pemandu Britain itu menghasilkan catatan menakjubkan 1:28.217 untuk mendominasi latihan bebas sesi petang, hampir setengah saat lebih pantas berbanding rakan sepasukannya Valtteri Bottas.

“Litar ini mengagumkan,” jerit Hamilton menerusi radio pasukan. “Saya berdepan hari terbaik!”

Vettel ketiga terpantas, lebih 0.8 saat daripada pendahulu ketika dia bersiap sedia dengan apa yang dilihat sebagai perlumbaan mesti menang buat pemandu Jerman itu.

Satu-satunya perkara yang mencemaskan Hamilton hadir menerusi insiden aneh sebelum itu apabila dia terpaksa bertindak pantas mengelak daripada melanggar belakang Gasly yang terlalu perlahan menuju ke selekoh.

Dia berang terhadap pemandu Perancis itu selepas terbabas ke tepi litar dan kemudian terpaksa masuk pit untuk membaiki penggera sensor jenteranya.

Bagaimanapun, kedua-dua isu itu tidak memberikan banyak perbezaan terhadap dominasi Hamilton dan kepantasan dipamerkan Mercedes memberikan bayangan mereka akan menguasai barisan hadapan pada sesi kelayakan esok, seperti dilakukan mereka di Russia minggu lalu.

Hamilton memenangi perlumbaan kelapannya musim ini secara kontroversi di Sochi selepas Mercedes mengarahkan Bottas untuk memberikan laluan sekali gus membantunya menghampiri kejuaraan F1 kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 9:15 PM