SUSPEK yang ditahan petang tadi. FOTO Faiz Anuar
SUSPEK yang ditahan petang tadi. FOTO Faiz Anuar
Nur Izzati Izzah Nadzi


PEMANDU pacuan empat roda yang merempuh empat atlet dan jurulatih berbasikal negara pagi tadi sudah ditahan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor pagi esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, sebelum itu pemandu berusia 46 tahun yang beralamat di Pahang itu membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang pada jam 3.45 petang tadi.

Beliau berkata, lelaki berkenaan kemudian ditahan jam 5.30 petang dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

"Keterangan pemandu Toyota Hilux itu sudah direkodkan selain ujian saringan air kencing dilakukan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan esok dia dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Selangor," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi di Kilometer 12.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) berdekatan susur keluar Bandar Tasik Puteri, empat atlet berbasikal negara termasuk dua atlet paralimpik dan seorang jurulatih cedera dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika menjalani latihan di kawasan itu.

Siasatan polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila dua basikal dan sebuah motosikal pengiring jenis Yamaha LC berada di lorong tengah dari arah Ijok ke Rawang.

Bagaimanapun, mereka dilanggar sebuah kereta Toyota Hilux yang mahu menukar lorong ke susur keluar Bandar Tasik Puteri hingga menyebabkan mereka cedera sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang terbabit adalah Muhamad Khairul Nizam Mohd Ali, 19; Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 25; Mohd Khairul Azwan Wahab, 25; Mohd Nur Ridzuan Zainal, 31, dan Mohd Johari Nayan, 42, yang juga jurulatih pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 9:01 PM