Wendy Ng rangkul emas terjun 3 meter papan anjal. -Foto AIZUDDIN SAAD
Wendy Ng rangkul emas terjun 3 meter papan anjal. -Foto AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


PENERJUN negara Wendy Ng menggungguli aksi di kolam apabila memenangi pingat emas acara terjun 3 meter papan anjal individu wanita selepas mengutip 342.90 mata secara keseluruhan dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), hari ini.

Gelaran selaku juara kali ini diraih Wendy di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sekali gus berjaya menebus kekecewaan pada edisi lalu di Singapura 2015 apabila dia sekadar membawa pulang pingat perak.

Sementara itu, tempat kedua iaitu pingat perak acara itu turut menjadi milik penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dengan kutipan 311.25 mata, hanya ketinggalan 31.65m di belakang pemenang emas sementara gangsa dimenangi penerjun dari Singapura, Ashlee Tan Yi Xuan (233.60 mata).

Terdahulu, pada aksi final seramai enam penerjun iaitu dua dari Malaysia (Wendy dan Nur Dhabitah), Eka Purnama Indah dan Maria Natalie Dinda Anasti dari Indonesia sementara Fong Kay Yiang dan Yi Xuan dari Singapura.

Untuk rekod, pada temasya sama di Singapura dua tahun lalu, pingat emas dan perak acara itu diungguli penerjun negara menerusi Cheong Jun Hoong dan Wendy sementara gangsa dimenangi penerjun tuan rumah Kay Yiang.

Bagaimanapun juara edisi lalu Jun Hoong tidak menyertai acara itu di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 1:08 PM