WENDY turut memenagi emas pada aksi 3 meter papan anjal seirama. FOTO/OSMAN ADNAN
WENDY turut memenagi emas pada aksi 3 meter papan anjal seirama. FOTO/OSMAN ADNAN
Jumiati Rosly

PERSATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan merayu kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) supaya tidak membatalkan kemenangan pingat emas 3 meter papan anjal seirama yang dimenangi Wendy Ng dan gandingannya, Nur Dhabitah Sabri.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka akan mencadangkan hukuman penarikan pingat dalam acara individu sahaja berikutan Wendy diuji positif selepas acara individu dan bukannya seirama.

“Ujian doping yang dilakukan ke atas Wendy selepas acara 3m papan anjal individu.

Justeru, bagi memberi keadilan kepada pasangannya yang turut memenangi pingat tersebut (Dhabitah), maka dicadangkan agar hukuman penarikan balik, sekiranya terbukti bersalah dibuat bagi acara individu sahaja,” katanya dalam sidang media di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Skuad terjun negara menyapu bersih 13 emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu dan jika pingat Wendy di dalam acara individu ditarik balik, maka pemenang perak, Dhabitah akan memenangi pingat emas secara automatik sekali gus jumlah pungutan pingat negara tidak akan terjejas.

Namun, jika pingat 3m seirama wanita yang dimenangi Wendy-Dhabitah ditarik balik, maka negara akan kehilangan satu emas dalam pungutan pingat keseluruhan.

Wendy didapati positif menggunakan bahan terlarang sibuteramine yang sering didapati dalam ubat pelangsingan badan dengan ujian sampel B yang diadakan 11 Oktober lalu turut didapati positif dan dia kini digantung daripada skuad kebangsaan buat sementara waktu.

Shahidan berkata, ASUM bersimpati dengan nasib yang menimpa Wendy, apatah lagi, penerjun itu mempunyai reputasi baik sebagai atlet berdisiplin.

Justeru, katanya, pihaknya akan memberi peluang kepada Olimpian itu memberi penjelasan dalam satu sesi pendengaran yang akan diadakan tidak lama lagi seperti yang digariskan peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

“Kita membuka pintu seluas-luasnya buat Wendy untuk kembali semula (selepas menerima hukuman) kerana dia sudah dilatih begitu lama.

“Namun, pada masa yang sama kita perlu bertegas terhadap mana-mana atlet jika melakukan perkara terlarang ketika pertandingan, biarpun kita bersimpati terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Mengikut WADA, mana-mana individu yang didapati positif ujian doping akan dikenakan hukuman gantung automatik dua tahun, namun keputusan akhir akan diputuskan selepas sesi pendengaran yang bakal dilakukan Jawatankuasa Siasatan ASUM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 3:20 PM