MUHD Shahir tidak kekok melayan pelanggan di gerai Goreng Pisang Cheese di Jalan Telipot, Kota Bharu.
MUHD Shahir tidak kekok melayan pelanggan di gerai Goreng Pisang Cheese di Jalan Telipot, Kota Bharu.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Biarpun kekurangan dari segi fizikal, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada pemuda orang kurang upaya ini untuk mencari rezeki dengan titik peluhnya sendiri.

Muhd Shahir Azmi, 22, yang mengalami kecacatan pada kedua-dua tangannya dari paras siku sejak lahir berkata, sebelum ini beberapa kali permohonan untuk bekerja ditolak kerana kekurangannya itu.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Polisi dan Sekitaran Sosial berkata, bagaimanapun dia tidak pernah berputus asa mencari pekerjaan lain untuk wang saku tambahan bagi menampung pengajiannya di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Saya tak boleh duduk diam tanpa melakukan apa-apa kerja apatah lagi menjadikan keadaan fizikal sebagai alasan untuk terus mengharapkan ibu dan ayah.

“Setiap kali cuti semester, saya memanfaatkan masa yang ada kira-kira dua bulan untuk mencari wang dengan melakukan pelbagai kerja sambilan seperti menjual burger dan pisang goreng,” katanya ketika di temui di Kampung Telipot, di sini.

Anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, ayahnya, Azmi Mat Noor, 54, yang bertugas sebagai tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa, mengirim wang kepadanya namun dia lebih selesa mencari wang sendiri dan hidup berdikari.

“Bagi memanfaatkan cuti semester bermula Jun lalu, saya bekerja di gerai pisang goreng milik saudara di Kampung Telipot bermula jam 11 pagi hingga 6.30 petang.

“Dengan upah yang diperoleh, bolehlah saya gunakan untuk menampung perbelanjaan saya pada semester baru ini,” katanya.

Menurutnya, selepas tamat pengajian nanti, dia meletakkan harapan tinggi untuk mengubah hidup ke arah yang lebih baik walaupun fizikalnya tidak sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2017 @ 3:14 AM