KELAS masakan bantu mereka yang berminat untuk jana pendapatan sendiri.
KELAS masakan bantu mereka yang berminat untuk jana pendapatan sendiri.

“Saya orang susah, mak hanya berniaga nasi lemak untuk membesarkan kami empat beradik tanpa ayah di sisi.

“Mak tak pernah bercerita mengenai ayah dan kami tak pernah bertanya kerana tak mahu mak terus bersedih,” akui Noraliza Kamarudin saat memulakan sesi temu bual bersama penulis di premis bakeri miliknya, Aliza Bakery & Cooking Class di Seberang Balok, Jalan Kuantan Kemaman, baru-baru ini.

Jelas air mata bergenang di kelopak mata ketika mengimbas kembali kesusahan dan penderitaan dilalui zaman kanak-kanaknya terutama ketika bersekolah rendah di Kemaman, Terengganu.

“Setiap hari saya bangun seawal jam 4 pagi menemani mak siapkan nasi lemak untuk dijual di kawasan taman perumahan berhampiran Kampung Pengkalan Pandan, tempat kami tinggal. Saya berjual menaiki basikal bersendirian di kawasan perumahan kira-kira jam 6 pagi dan pulang sebelum jam 7 pagi untuk bersiap ke sekolah pula.

“Masa itu saya berusia 11 tahun. Bohonglah kalau saya kata tidak penat dan jemu tetapi demi membantu mak, saya ketepikan semua itu.

“Saya juga membawa nasi lemak untuk dijual ke sekolah manakala di sebelah petang, saya tolong mak menjual pisang goreng,” katanya.

Kesusahan hidup dan atas pujukan ibunya, Tipah Omar, 53, membuatkan Noraliza bersetuju tinggal di asrama ketika mula menginjak kaki di sekolah menengah.

“Kerana kesusahan dan kemiskinan hidup kami, saya tidak diwajibkan membayar yuran asrama dan ibu pula hanya mampu memberi saya RM30 sebulan sebagai belanja harian,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasik, Terengganu itu.

Tipah kini masih berniaga nasi lemak dan sayur-sayuran bersama adiknya yang menetap di Kampung Chengal Lempung, Beserah, Kuantan.

Wanita cekal berusia 35 tahun itu berkata, bukan mudah untuknya hidup selesa hari ini jika tidak disertai dengan semangat dan jiwa kental serta sokongan moral daripada suami tercinta, Masli Marli, 47.

“Saya buat keputusan selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mesti kerja untuk bantu ibu cari wang menampung belanja sekolah tiga lagi adik kerana saya anak sulung,” katanya.

Menurutnya, pelbagai pekerjaan dilakukan termasuk menjadi kerani pejabat swasta, pekerja kilang serta pembantu kedai demi meringankan beban ditanggung ibu dan memastikan semua adiknya terus bersekolah.

“Bermula 2006, selepas dua anak mula membesar, saya berkenalan dengan Facebook dan membuat carian di Internet untuk mencari resipi kek,” katanya.

Berbekalkan sebuah mesin pembancuh dan buku rujukan asas membuat kek karya Amaruszati Noor Rahim, dia nekad membuat kek cawan dan menjual kepada jiran.

“Saya teruja sangat ketika jiran memuji keenakan kek itu dan mereka mula membuat tempahan. Saya tetap terima walaupun dalam kuantiti yang kecil.

“Itulah detik permulaannya dan saya bersyukur kerana bermula daripada tiada ilmu mengenai kek, kini menjadi tenaga pengajar dan memiliki studio masakan sendiri. Paling mengujakan apabila pengikut saya di FB sudah mencecah 5,000 orang dan 500 pelajar kelas masakan.

“Saya belajar dan terus belajar menerusi cara sendiri sehingga suami kasihan lalu dihulurkan wang RM800 sebagai modal berniaga,” katanya yang turut dibantu suami membuat sendiri loyang kek untuk mengurangkan kos.

Wang itu digunakan membayar yuran RM350 untuk kelas asas membuat kek manakala bakinya digunakan untuk membeli beberapa peralatan memasak dan bahan mentah.

“Selesai kelas masakan itu, saya terus membuat dan menjual kek dengan harga murah RM30 sebiji. Setiap hari ada saja tempahan dan saya mula tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

“Wang hasil berjualan itulah saya gunakan untuk pulangkan wang suami, membeli mesin pembancuh tepung, ketuhar dan barang lain tanpa membuat sebarang pinjaman,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, Noraliza terus mengembangkan bakat dan berguru pula dengan mereka yang mahir dalam menghias kek.

“Saya minta izin suami untuk mencari ilmu di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sebagai persiapan mengajar kerana banyak permintaan.

“Saya memahami keadaan suri rumah yang tidak mempunyai wang yang banyak untuk menghadiri kelas masakan dan saya rela mengajar mereka walaupun dengan harga rendah daripada kebiasaaan,” katanya yang turut menerima jemputan menjadi tenaga pengajar kelas kek di Terengganu dan Negeri Sembilan.

Noraliza berkebolehan memasak pelbagai jenis kek dan roti, biskut raya, kuih-muih tradisional dan moden serta masakan panas dan cita rasa timur.

Dia juga terpaksa menggunakan serambi rumahnya hampir dua tahun ketika mula mengadakan kelas masakan kerana tidak mampu menyewa.

“Dengan simpanan yang ada saya membeli sebuah rumah dan menjadikannya bengkel dan kelas masakan sebelum berpindah ke sini dengan kelas masakan yang lebih besar, berhawa dingin dan selesa untuk jumlah pelajar yang lebih ramai.

“Kelas masakan berkumpulan diadakan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad manakala kelas individu bergantung atas permintaan,” katanya yang sudah membelanjakan hampir RM70,000 sebagai modal memulakan perniagaan.

Keperitan hidup di zaman kanak-kanaknya bagaikan terbayar apabila kini memiliki rumah, restoran, studio masakan dan kenderaan sendiri hasil titik peluhnya sendiri selain sokongan moral ibu, suami serta anak-anak.

Noraliza berazam untuk terus membantu suri rumah dan ibu tunggal menambah pendapatan serta memiliki perniagaan sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kepada suami atau keluarga. - Ainal Marhaton Abd Ghani

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 5:38 AM