GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penuntut terutama dari keluarga B40 turut terkesan dengan kadar kenaikan inflasi apabila ramai daripada mereka melakukan pelbagai cara untuk meneruskan kelangsungan hidup di kampus.

Muhd Shahmier Farhan Bohari, 21, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor berkata, pada masa ini dia membelanjakan hampir RM2,000 setiap semester berbanding kurang RM1,000 bagi tempoh sama sebelum berlaku kenaikan inflasi.

"Saya terpaksa berjimat cermat dengan hanya makan sekali sahaja sehari iaitu pada waktu petang, selain adakalanya saya berpuasa sunat kerana memang terkesan dengan kenaikan inflasi ini.

"Walaupun saya menerima baucar makanan bernilai RM150 untuk satu semester, namun ia hanya bertahan untuk bulan pertama sahaja itupun saya perlu tambah RM50 kerana kos makan di sini cecah RM200 sebulan.

"Untuk kolej kediaman pula saya membayar RM170 untuk satu semester selepas mendapat 50 peratus potongan selain perbelanjaan projek dan tugasan serta salinan nota dan bahan rujukan mencecah lebih RM50 semester selain kos dobi RM4 seminggu," katanya kepada Harian Metro.

Penuntut tahun pertama sarjana muda jurusan kejuruteraan elektrikal itu berkata, pada masa lapang dia tidak akan keluar bersuka ria dan hanya memilih berkurung dalam bilik bagi menjimatkan kos perbelanjaan.

"Memang jarang keluar kerana takut bajet lari. Kalau saya keluar pun hanya untuk urusan penting dan selalunya saya akan tumpang kenderaan rakan.

"Dengan harga barangan semakin naik saya perlu fikirkan cara lain dan tidak boleh terlalu bergantung kepada biasiswa.

"Selalunya saya akan gunakan peluang cuti semester mencari duit poket sebagai penghantar makanan di Kuching, Sarawak apabila saya pulang bercuti memandangkan kami tidak dibenarkan berada dalam kolej kediaman sepanjang tempoh itu dan semua keluarga saya menetap di Kuching," katanya yang baru menerima tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sementara itu, penuntut Diploma Pengurusan Maklumat UiTM Cawangan Sarawak, Nurul Hikmah Rumaini, 20, berkata, dia perlu mengurus biasiswa JPA bernilai RM4,000 setiap semester dengan sebaik mungkin.

"Walaupun saya menetap di Kota Samarahan, namun kos sara hidup di sini boleh tahan tinggi juga. Dulu perbelanjaan bulanan saya seperti makan minum, barangan keperluan, salinan dan cetak nota dan bahan rujukan hanya kira-kira RM500 sekarang ini ia meningkat kepada lebih RM800.

"Itu belum lagi kos pengangkutan e-hailing jika ada urusan universiti dan membeli barangan keperluan biasanya saya mengeluarkan lebih RM20 untuk perjalanan pergi dan balik.

"Dengan barangan semakin naik harga, memang biasiswa itu tidak mencukupi dan biasanya saya akan minta bantuan kewangan tambahan daripada ibu bapa pada hujung semester kerana kehabisan wang.

"Kadang-kadang apabila cuti semester tiba jika tiada keperluan saya tak akan balik kampung di Beaufort, Sabah kerana hendak jimatkan kos penerbangan yang mencecah lebih RM200 untuk perjalanan dua hala," katanya.

Katanya, kerajaan perlu mencari pendekatan bagi membantu golongan penuntut sepertinya berikutan kesan kadar kenaikan inflasi ini menjejaskan semua penuntut pelbagai latar belakang.

"Sebenarnya semua penuntut pada masa ini berjuang untuk teruskan kelangsungan di kampus terutama mereka yang datang dari keluarga sederhana dan pendapatan rendah kerana belajar memang perlukan banyak wang.

"Justeru, saya berharap kerajaan dapat menyediakan inisiatif baharu untuk kami bukan hanya memberikan bantuan peranti dan baucar makanan sebaliknya mungkin memperkenalkan baucar khas untuk salinan dan cetak nota-nota dan bahan rujukan serta projek tugasan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 7:16 PM