AHMAD menunjukkan pingat Jasa Pahlawan Negara diterimanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seperi, Kuala Klawang, Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
AHMAD menunjukkan pingat Jasa Pahlawan Negara diterimanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seperi, Kuala Klawang, Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


BEKAS polis bantuan (AC) pada zaman darurat, Ahmad Yasin berharap dapat bertemu dengan anak kandungnya, Azizah yang sudah terpisah lebih 50 tahun.

Ahmad, 92, berkata kali terakhir dia bertemu anak kedua dengan isteri pertamanya itu ketika menjadi wali pernikahan anaknya pada 1960-an.

Katanya, perasaan hatinya ketika ini kuat mengatakan anaknya itu masih hidup dan dipercayai sudah berusia 70-an.

"Anak sulung ada mencari, tetapi masih belum bertemu dan saya berharap sebelum menutup mata dapat bertemu dengannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seperi, Kuala Klawang, Jelebu.

Ahmad yang pernah menerima pingat Jasa Pahlawan Negara pada 2014 antara individu diberi penghargaan berikutan perkhidmatan ketika darurat.

Mengimbau sejarah hidupnya, Ahmad pernah menyelusup masuk bagi merisik dan mengetahui sendiri kegiatan komunis yang ketika itu sangat aktif di sekitar Jelebu.

Katanya, ketika itu dia masih belia dan tidak mengetahui perjuangan sebenar komunis menyebabkan timbul perasaan ingin tahu.

"Disebabkan muka ada iras Cina, permohonan saya diterima dan saya menerima pasport yang mempunyai cop tukul besi, sabit bengkok dan matahari.

"Mujur saya tidak ditangkap kerana mengintip aktiviti mereka, namun saya tidak lama bersama komunis kerana pada 1948 diterima menjadi polis bantuan," katanya.

Ahmad berkata, biarpun hanya membantu polis mengawal kampung serta membuat rondaan dan tidak terbabit dengan sebarang operasi, tugasnya sebagai AC turut mencabar malah turut menjadi mata polis bagi memberi maklumat ketika itu.

Katanya, peristiwa serangan komunis di Bukit Tangga, Jelebu pada 1949 antara kejadian meruntun hatinya ketika itu.

"Mana tidaknya, 16 anggota polis maut dalam serang hendap komunis ketika dalam perjalanan pulang membawa duit gaji polis dari Seremban ke Jelebu.

"Lebih menyedihkan, 13 mayat anggota polis digantung dalam keadaan kaki ke atas di dalam trak manakala tiga mayat anggota yang terkorban disusun di atas lantai trak sebelum dibakar," katanya.

Menurutnya, selepas berhenti menjadi AC, dia menyertai askar wataniah dan berkhidmat di sekitar Jelebu dari 1965 hingga 1974.

Katanya, sebaik bersara pada 1974, Ahmad yang kini mempunyai 42 cucu serta 63 cicit dan beberapa cuit membuat kerja kampung termasuk menjadi tukang rumah dan penggali kubur di Kampung Seperi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 6:55 PM