SHAHJAHAN Bhuiyan (tengah) meninggalkan Penjara Pusat Dhaka, Ahad lalu. FOTO AFP
SHAHJAHAN Bhuiyan (tengah) meninggalkan Penjara Pusat Dhaka, Ahad lalu. FOTO AFP
Agensi

Dhaka: Seorang banduan yang juga algojo di penjara Bangladesh dibebaskan Ahad lalu, selepas hukuman penjaranya dikurangkan kerana membantu pelaksanaan hukuman gantung terhadap 26 rakan tahanannya.

Selama 32 tahun menjalani hukuman di Penjara Pusat Dhaka, Shahjahan Bhuiyan, 74, pertama kali melaksanakan hukuman gantung terhadap Ershad Sikder pada 2007. Ershad menerima hukuman itu kerana membunuh 24 orang.

Bhuiyan berkata, khidmat dilaksanakannya itu membantu memendekkan tempoh hukumannya.

"Tidak kira apa jenayah yang dilakukan seseorang, apabila dia berada di hadapan kematian, anda akan berasa simpati dengannya.

"Walaupun berasa simpati, saya tetap perlu melakukannya.

"Jika saya tidak menggantung mereka, orang lain akan melakukannya," katanya.

Timbalan Ketua Penjara Pusat Dhaka, Tania Zaman berkata, hukuman penjara Bhuiyan dikurangkan kerana 26 hukuman gantung yang dilaksanakan sepanjang dalam tahanan.

Menurut seorang pegawai penjara, Bhuiyan menggantung pegawai tentera yang didapati bersalah merancang rampasan kuasa pada 1975 dan membunuh pemimpin pengasas negara itu, yang juga bapa kepada Perdana Menteri Sheikh Hasina.

"Selain itu, (dia melaksanakan hukuman terhadap) pemimpin tertinggi Islam, Ali Ahsan Mujahid dan penyokong kuat pembangkang Salahuddin Quader Chowdhury selepas kedua-duanya didakwa melakukan jenayah perang.

"Pada 2007 dia juga menggantung Siddique Islam, seorang pemimpin Islam Jamayetul Mujahideen Bangladesh yang diharamkan selepas mengetuai kempen pengeboman di seluruh negara dua tahun sebelumnya," katanya.

Bangladesh mewarisi pelaksanaan hukuman mati daripada British dan 500 orang menjalani hukuman itu, sejak ia merdeka daripada Pakistan pada 1971.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, lebih 2,000 banduan menanti hukuman mati di negara itu termasuk ratusan pengganas dan pemberontak pengawal sempadan yang disabitkan bersalah membunuh pegawai kanan tentera.

Untuk rekod, semua algojo Bangladesh termasuk Bhuiyan adalah dalam kalangan banduan lama yang dipilih dan dilatih melaksanakan tugas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 1:24 PM