SAIFUDDIN  Nasution. FOTO Bernama.
SAIFUDDIN Nasution. FOTO Bernama.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jabatan Penjara Malaysia merekodkan kemasukan 2,350 banduan yang dituduh di bawah kesalahan yang membawa kepada hukuman mati sejak 2000 hingga 31 Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah banduan yang dijatuhi hukuman mati, seramai 690 atau 29.36 peratus banduan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (pengedaran dadah) pula terdapat seramai 1,589 (67.62 peratus) banduan disabitkan.

"Manakala 13 (0.55 peratus) orang banduan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan (berperang dengan Yang di-Pertuan Agong).

"Selain itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Senjata api (melepaskan tembakan di bawah kesalahan berjadual dan berdagang senjata api) seramai 31 banduan (1.32 peratus) direkodkan," katanya dalam jawapan secara bertulis kepada Teresa Kok (Seputeh-PH) di Dewan Rakyat hari ini.

Teresa meminta kementerian itu memberikan senarai kategori banduan dijatuhi hukuman mati serta jumlah yang menerima pengampunan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rekod Jabatan Penjara Malaysia turut menunjukkan seramai 19 banduan atau 0.81 peratus dan tiga (0.13 peratus) banduan masing-masing disabitkan di bawah Seksyen 3 Akta Culik dan Seksyen 396 Kanun Keseksaan (rompakan berkumpulan dan pembunuhan).

"Seramai lima banduan (0.21 peratus) dikenakan di bawah seksyen 57(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Sementara itu, seramai 194 banduan atau 8.26 peratus dipertimbangkan kepada hukuman lebih ringan atau diberikan pengampunan daripada Raja-Raja dan kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 4:44 PM