SOLSKJAER yakin kemampuan pemainnya. FOTO AFP
SOLSKJAER yakin kemampuan pemainnya. FOTO AFP
AFP

London: Manchester United akan berkunjung ke RB Leipzig untuk saingan Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini dengan yakin mara ke peringkat kalah mati tetapi menyedari mereka menyukarkan diri sendiri sebelum ini.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer tampak mudah melepasi saingan peringkat kumpulan selepas menang di Paris Saint-Germain disusuli menewaskan RB Leipzig 5-0 di tempat sendiri.

Tetapi kekalahan mengejut di tempat lawan kepada Istanbul Basaksehir membuka kembali saingan Kumpulan H dan tewas kepada PSG di tempat sendiri minggu lalu membolehkan juara Perancis itu, United dan Leipzig terikat sembilan mata.

United hanya perlu seri di kubu pasukan dari Jerman itu yang kini menduduki tangga ketiga Bundesliga untuk membolehkan mereka mara berdasarkan rekod pertemuan yang lebih baik.

Juara Eropah itu boleh berbangga dengan rekod baik di tempat lawan musim ini kecuali kekalahan memalukan di Turki.

Mereka menang semua lima aksi Liga Perdana di tempat lawan sekaligus rekod kemenangan kesembilan berturut-turut.

Tetapi United yang terdesak untuk memulihkan reputasi sebagai kelab elit Eropah masih lagi gemar meletakkan mereka dalam situasi sukar. Mereka ketinggalan dalam setiap perlawanan di tempat lawan musim ini.

Aksi menentang West Ham pada Sabtu lalu tiada bezanya. Skuad Solskjaer ketinggalan 0-1 pada babak pertama sebelum bangkit di babak kedua.

Paul Pogba, Mason Greenwood dan Marcus Rashford meledak jaringan untuk kemenangan 3-1 di Stadium London dan melonjak kelab ke kelompok empat teratas Liga Perdana.

"Pemain saya kini bertambah yakin dan percaya mereka mampu menukar keputusan perlawanan,'' kata Solskjaer. "Anda tak perlu panik.''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 10:01 PM