CASEMIRO meraikan kejayaan meledak gol United. -FOTO Reuters
CASEMIRO meraikan kejayaan meledak gol United. -FOTO Reuters
AFP

Bournemouth, United Kingdom: Erik ten Hag berkata Manchester United mempunyai "segala-galanya dalam tangan kami" selepas pasukannya di ambang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara apabila menang 1-0 di tempat lawan mengatasi Bournemouth.

Gol menakjubkan Casemiro pada separuh masa pertama terbukti menjadi penentu United yang kini hanya memerlukan satu mata daripada dua baki perlawanan Liga Perdana musim ini – kedua-duanya di Old Trafford – menentang Chelsea dan Fulham minggu depan untuk memastikan tempat di dalam saingan elit bola sepak.

Juara Eropah tiga kali itu akan menempah tempat mereka lebih awal sekiranya kemenangan mereka disertai dengan kekalahan Liverpool.

Tetapi musuh ketat United itu bangkit dari ketinggalan untuk memastikan keputusan seri 1-1 di tempat sendiri menentang Aston Villa.

"Ia (keputusan Liverpool) tidak penting, saya memberitahu anda sudah berminggu-minggu ini bukan mengenai lawan kami," tegas pengendali dari Belanda itu.

"Kami mendahului, ia terpulang kepada kami, kami ada segala-galanya di tangan kami, kami tidak perlu melihat ke belakang. Kami perlu mempamerkan persembahan kami."

Layak ke Liga Juara-Juara bermakna Ten Hag mencapai sasaran utama pada musim pertamanya mengendalikan United yang sudahpun memenangi Piala Liga menjelang perlawanan akhir Piala FA bulan depan menentang pesaing tempatan Manchester City.

Marcus Rashford terlepas peluang beraksi bersama juara Eropah tiga kali itu kerana penyakit yang tidak dinyatakan malah penyerang England itu diketepikan ketika mereka menang 2-0 ke atas Wolves kerana kecederaan kaki.

Tetapi di sebalik ketiadaannya, United hanya mengambil masa sembilan minit untuk meneruskan kemaraan.

Hantaran lintang Christian Eriksen yang terapung ke dalam kotak telah dikuis ke laluan Casemiro oleh pemain pertahanan Marcos Senesi sebelum pemain tengah Brazil itu menyumbat bola voli akrobatik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 9:49 AM