KENNETH pernah mengharumkan nama negara. FOTO KBS
KENNETH pernah mengharumkan nama negara. FOTO KBS
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum berkenaan masalah yang dihadapi bekas atlet skuasy negara, Kenneth Low Ewe Loong.

Dalam satu hantaran yang dikongsikan menterinya, Hannah Yeoh di Facebook hari ini memberitahu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) sudah pun melawat beliau awal bulan ini sebelum kes itu ditularkan.

Malah Hannah turut berkongsikan kronologi bantuan yang diterima oleh Kenneth yang diberikan oleh Yakeb.

"Yakeb akan melaporkan perkembangan Kenneth terus dari masa ke semasa dan beliau dalam pemantauan Yakeb untuk bantuan rawatan,"tulisnya.

Terdahulu, media melaporkan Kenneth mengalami masalah kesihatan akibat strok dan dilaporkan tidak mempunyai wang untuk melakukan ujian bagi menentukan tahap kerosakan pada otaknya.

Pernah bergelar pemain skuasy yang cemerlang dan menduduki ranking keempat di Asia dan ke-38 di dunia, Kenneth kini bekerja sebagai seorang pembersih lantai, cermin, pintu, meja dan kerusi di tempat kerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 6:14 PM