Pengurus pasukan gimrama Malaysia ke Sukan SEA, Dr Farrah Hani Imran. - Foto Fail
Pengurus pasukan gimrama Malaysia ke Sukan SEA, Dr Farrah Hani Imran. - Foto Fail
Syafiq Aznan

SKUAD gimnastik berirama (gimrama) negara melaungkan amaran mereka sudah bersedia mendominasi acara itu apabila mensasarkan enam daripada lapan pingat emas dipertandingkan.

Pengurus pasukan, Dr Farrah Hani Imran, optimis mampu mengutip enam pingat emas yang disasarkan berdasarkan komitmen dan prestasi konsisten anak buahnya.

“Kami sudah melakukan persiapan jangka panjang sejak tamat Sukan SEA 2015 berbekalkan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Atlet yang kami pilih adalah yang terbaik selepas beberapa ujian saringan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Acara gimnastik artistik akan membuka tirainya esok dengan pertandingan berlangsung selama tiga hari di Dewan 9 dan Dewan 10, MITEC.

Pencapaian skuad gimnastik berirama di Singapura dua tahun lalu, menyaksikan mereka unggul merangkul dua pingat emas daripada tiga acara dipertandingkan.

Bagaimanapun, bekas gimnas negara itu tetap mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada memandangkan kesilapan kecil mampu memberi kesan terhadap keputusan akhir.

“Saya akui kami pasukan pilihan namun ia tidak bermakna kami boleh mengambil mudah cabaran daripada pasukan seperti Vietnam, Thailand dan Singapura yang turut memiliki atlet yang bagus dalam acara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 7:22 PM