ATLET gimrama kebangsaan merangkul pingat emas berpasukan di Kompleks Sukan Quan Ngua, Hanoi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ATLET gimrama kebangsaan merangkul pingat emas berpasukan di Kompleks Sukan Quan Ngua, Hanoi. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi dan Sukhairi Thani dan Fadhli Ishak

Hanoi: Pasukan gimnastik berirama negara muncul juara acara berpasukan di Sukan Sea Vietnam di Pusat Gimnasium Quan Ngua, Hanoi, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan emas keempat dihadiahkan pasukan gimnastik negara kepada kontinjen Malaysia masing-masing dua daripada gimnastik artistik dan gimnastik berirama.

Pasukan negara dibarisi Shak Yuki, Ng Jia Wen, Jingle Shak Qi, Maia Ong, Ashley Lim dan Yap Yi Tung tidak menghadapi masalah mempertahankan emas dimenangi di Manila 2019 apabila mengumpul markah keseluruhan 49.200 bagi dua pusingan iaitu lima gelung (26.150) serta tiga riben dan dua bola (23.050).

Sementara itu, perak dimenangi Thailand selepas mencatat markah keseluruhan 41.550 dan gangsa diraih Vietnam (37.800).

Malaysia yang dianggap sebagai kuasa besar dalam acara itu, tidak berdepan masalah menyapu bersih dua emas yang dipertandingkan iaitu dalam acara individu dan berkumpulan.

Di Sukan Sea Manila 2019, skuad gimnastik berirama negara membawa pulang empat pingat menerusi acara all around berkumpulan dan dua emas diraih Izzah Amzan, manakala Koi Sie Yan meraih emas dalam acara aparatus riben wanita.

Sebelum itu, Koi Sie Yan berjaya meraih emas selepas mengumpul markah keseluruhan disiplin berkenaan 109.100 mata, manakala seorang lagu wakil negara Ng Joe Ee mengumpul 104.600 mata dan gangsa menjadi milik Breanna Labadan dari Filipina (96.650).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 7:41 PM