JEREMIAH Loo (kanan) bersama Fu Jie berjaya memenangi pingat emas dalam acara gimnastik artistik lelaki Sukan SEA KL2017 di MITEC. -Foto MUHAIZAN YAHYA
JEREMIAH Loo (kanan) bersama Fu Jie berjaya memenangi pingat emas dalam acara gimnastik artistik lelaki Sukan SEA KL2017 di MITEC. -Foto MUHAIZAN YAHYA
Azlan Muhammad Zain


BUKAN satu malah dua pingat emas dihadiahkan skuad gimnastik artistik lelaki untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 12 tahun di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Tanpa disangka Jeremiah Loo Phay Xing dan Tan Fu Jie cemerlang dalam persembahan masing-masing menerusi acara kekuda berpelana untuk berkongsi kejuaraan.

Mereka terikat 13.650 mata untuk berkongsi emas manakala gangsa diraih Jamorn Prommanee dari Thailand dengan 13.250 mata dalam aksi di MITEC.

“Ini adalah satu pencapaian yang amat besar kerana sudah 12 tahun kami tidak menyumbang emas.

“Satu kejutan apabila saya terikat mata yang sama dengan rakan sepasukan. Namun ia adalah berita yang amat gembira untuk kami kerana sudah memberikan yang terbaik ketika persembahan,” kata Jeremiah.

Kali terakhir skuad gimnastik artistik lelaki menyumbangkan emas kepada negara adalah pada Sukan SEA 2005.

Fu Jie pula melahirkan perasaan bangga kerana mampu meraih emas pada penampilan pertamanya di Sukan SEA.

“Kami berhak menerima emas ini kerana sudah memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 3:27 PM