URUTAN boleh melegakan dan merapatkan hubungan penjaga dengan klien. FOTO Ihsan Homeage's Care Profesional
URUTAN boleh melegakan dan merapatkan hubungan penjaga dengan klien. FOTO Ihsan Homeage's Care Profesional
Nurul Husna Mahmud

MELIHAT senario Malaysia ketika ini dikatakan negara paling berusia di rantau ini berdasarkan perangkaan pernah direkodkan iaitu kira-kira 10 peratus daripada populasi penduduk akan berumur 65 tahun dan ke atas.

Ia mewakili lebih 3.4 juta penduduk dan dijangka 10 tahun akan datang jumlah itu meningkat 15 peratus.

Melihat kepada angka itu gambaran situasi semasa seperti kos penjagaan kesihatan turut meningkat disebabkan kumpulan ini biasanya menghidapi penyakit kronik.

Merujuk situasi itu, landskap penjagaan paliatif iaitu penjagaan warga emas perlu diberi perhatian dalam menjamin kesejahteraan komuniti.

Biasanya mengenai penjagaan warga tua, bagi penjaga seperti anak atau ahli keluarga, dilema mereka ialah mencari tempat sesuai dengan keperluan kerana perlu bekerja.

Justeru, ramai melihat khidmat ini lebih kepada satu institusi menawarkan khidmat jagaan sementara apabila anak atau keluarga keluar bekerja.

Namun, perkongsian Penjaga Profesional Paliatif Homeage's Care Profesional, Nadia Ahmad Kutubbudin memperlihatkan terdapat 200 tenaga mahir sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sepertinya bersedia menjadi peneman warga emas di rumah masing-masing.

“Berbanding negara maju seperti United Kingdom, Australia atau jiran kita, Singapura, khidmat penjaga paliatif profesional mungkin tidak lagi dikenali dalam negara.

KOMUNIKASI antara kemahiran penting mesti dimiliki penjaga warga emas. FOTO Ihsan Homeage's Care Profesional
KOMUNIKASI antara kemahiran penting mesti dimiliki penjaga warga emas. FOTO Ihsan Homeage's Care Profesional

“Sedangkan 90 peratus warga emas tempatan lebih selesa tinggal mahupun menghabiskan sisa hidup mereka di rumah sendiri.

“Jadi melihat kepada permintaan itu, rasanya mereka ini perlu ada individu atau penjagaan khusus untuk memastikan pengurusan diri lancar dan tidak terjejas terutama mereka terlantar dan sebagainya, katanya.

Merujuk kepada dirinya, salah seorang daripada 87 peratus tenaga wanita berkhidmat dalam profesional itu, semuanya terlatih mengikut tiga elemen penting dalam penjagaan warga emas.

“Dalam kerjaya atau peranan kami, terdapat tiga cabang perkhidmatan utama iaitu penjagaan peribadi, penjagaan kejururawatan dan terapi rumah.

“Penjagaan peribadi mendapat bantuan dalam rutin seharian seperti mandi, tuntun ke tandas, makan dan minum serta waktu makan ubat. Ada juga perlukan khidmat kami sebagai pengiring ketika ingin menjalani rawatan atau pemeriksaan di hospital.

“Penjagaan kejururawatan adalah apabila individu memerlukan prosedur khas membabitkan rawatan seperti pengambilan ubat, makanan tiub, suntikan, stoma dan penjagaan luka.

“Terakhir ialah terapi rumah atau rutin fisioterapi. Kami juga merancang umtuk dikembangkan kepada terapi pekerjaan dan pertuturan, katanya.

Tambah Nadia, khidmat itu bukan pengganti, tetapi sokongan kepada sistem pengurusan warga emas di rumah supaya menikmati kualiti hidup lebih baik.

“Menjaga warga emas terutama ibu dan bapa masih menjadi tanggungjawab utama anak.

“Jadi seharusnya anak perlu lihat keperluan ibu bapa sebagai keutamaan selain tugas itu memerlukan kesabaran tinggi.

“Lebih penting dalam memahami tahap kesihatan mereka, anak yang menjaga perlu ambil tahu mengenai gejala penyakit, diet selain ubat-ubatan.

“Warga emas sangat sensitif. Andai penjaganya tidak memiliki kecekapan dan kecekalan, mereka akan rasa ia satu tanggungjawab berat.

“Berbeza orang melihat ia sebagai amalan dan rutin normal, mereka boleh bertindak balas dengan baik selain memahami orang tua, katanya.

Nadia menjalani pelbagai latihan penjagaan paliatif termasuk kemahiran mudah seperti melakukan pemindahan manual dan memberi makan kepada penerima penjagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 7:00 AM