IBU bapa turut dibantu menerusi perkhidmatan paliatif.
IBU bapa turut dibantu menerusi perkhidmatan paliatif.
Muhamaad Razis Ismail


IBU bapa mana yang tidak sedih dimaklumkan anak kesayangan mereka berusia 15 tahun disahkan menghidap kanser tulang.

Biarpun menjalani pelbagai rawatan termasuk kimoterapi dan radioterapi, penyakit kanser tulang dihadapi Adam Irwan berulang sehingga menyebabkan tahap kesihatannya merosot.

Namun Adam tidak menyerah kalah begitu sahaja. Anak bongsu daripada dua beradik itu kekal bersemangat untuk meneruskan hidup terutama selepas dibantu pasukan penjagaan rawatan paliatif pediatrik di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

Penjagaan paliatif adalah pendekatan perubatan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka yang berdepan penyakit serius dengan mengatasi dan mengurangkan penderitaan sama ada melalui rawatan fizikal, psikososial dan spiritual.

Rawatan fizikal tertumpu pada mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan dialami pesakit di samping merawat simptom dialami.

Manakala penjagaan psikososial membabitkan pesakit dan keluarga berdepan kesukaran menerima hakikat menghidap kanser dan melalui spiritual dilaksana menerusi pendekatan rohani mengikut kepercayaan dan agama seseorang itu.

Bapanya, Irwan Ismail, 50, berkata, dia tidak menyangka sakit belakang dialami anaknya gejala kanser tulang belakang.

Katanya, sejak itu, dia dan anak berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan di PPUM.

"Dalam tempoh menjalani rawatan saya dan anak dirujuk ke rawatan paliatif yang banyak memberi kemudahan dan keselesaan hingga akhir hayatnya (anak).

"Melalui rawatan paliatif, doktor banyak memberi semangat kepada Adam secara rawatan fizikal, psikososial dan spiritual. Selain bertemu di hospital, kami boleh berhubung melalui telefon, jika memerlukan apa-apa bantuan.

"Hubungan kami dengan doktor di sini sangat rapat. Antara momen saya tidak lupa, anak saya bawa permainan video PS4 untuk bermain di hospital. Apabila pihak rawatan paliatif dapat tahu keinginannya, mereka berusaha sehingga Adam dapat bermain PS4 dalam biliknya ketika di wad.

"Sebagai ketua keluarga, saya dibantu menerusi rawatan paliatif supaya selesa dan 'kuat' berdepan penderitaan dialami Adam," katanya.

Jelasnya, pengalaman dengan rawatan paliatif banyak memberi keselesaan, kekuatan dan semangat kepada pesakit dalam berdepan dengan kesakitan serta penderitaan yang dialami.

"Sehingga di saat akhir, biarpun dalam kesakitan, Adam dilihat masih tersenyum. Malah Adam menasihatkan saya supaya jangan menangis dan reda.

"Sebagai bapa sudah pasti saya sedih namun melihat Adam 'pergi' dalam keadaan tenang membuatkan saya bangga dengan dirinya," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Rawatan Paliatif Pediatrik, Jabatan Pediatrik PPUM, Dr Farah Khalid berkata, masih ramai dalam kalangan masyarakat beranggapan penjagaan paliatif alternatif terakhir untuk pesakit kronik.

Katanya, ramai ibu bapa salah faham, apabila anak dirujuk ke perkhidmatan paliatif, rawatan penyembuhan untuk penyakit tidak diteruskan.

"Hakikatnya, perkhidmatan paliatif sepatutnya dilaksana seiring dengan rawatan penyembuhan tetap dijalankan.

"Prinsipal utama rawatan paliatif untuk membantu pesakit menjalani kehidupan sebaik-baiknya daripada segi emosi psikososial dan spiritual.

"Paliatif membantu memenuhi keperluan ibu bapa dan ahli keluarga ketika rawatan dan selepas pesakit meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan paliatif mengoptimumkan banyak keperluan pesakit selepas fungsi mereka semakin terhad akibat penyakit dihidapi.

"Daripada aspek fizikal, jika pesakit tidak boleh berjalan, kita cuba bantu pesakit cari kaedah untuk mencapai kehendak mereka. Dari segi emosi dan psikososial, ada pesakit yang marah atau pelbagai emosi lain, kita cuba kenal pasti punca dan cuba fikirkan jalan menghadapi cabaran ini," katanya.

Pakar Perunding Rawatan Paliatif Jabatan Pediatrik PPUM, Dr Chong Lee Ai berpendapat, pesakit serius perlu mendapatkan rawatan paliatif seawal mungkin.

"Biasanya apabila pesakit berada di peringkat akhir baru dirujuk ke perkhidmatan paliatif sedangkan banyak keperluan mereka yang perlu dipenuhi.

"Dalam hal ini kesedaran masyarakat dan doktor penting supaya mereka mempunyai kefahaman yang betul mengenai prinsip perawatan paliatif yang disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 7:00 AM