PRABUDASS pamer larian cemerlang di Gold Coast Marathon 2023. FOTO Hafiz Ithnin
PRABUDASS pamer larian cemerlang di Gold Coast Marathon 2023. FOTO Hafiz Ithnin
Hafiz Ithnin


Gold Coast: Atlet olahraga negara, K Prabudass memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 21 kilometer (km) dengan catatan masa 1:06:53 saat (s) dalam acara Gold Coast Marathon 2023, di sini.

Prabudass pemenang pingat perak 5,000 meter (m) Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu juga memperbaharui rekod peribadinya, 1:07:29 menerusi acara dan kategori sama pada 2019.

Prabudass berkata, dia sebenarnya tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan pada kali ini memandangkan tidak membuat cukup persediaan untuk acara larian jarak jauh.

"Saya baharu saya menamatkan larian 5,000m di saingan Terbuka Pahang pada 26 Jun lalu. Jadi dari segi persediaan untuk acara 21km di Gold Coast ini sebenarnya masih tidak mencukupi.

"Saya boleh katakan hanya sekali sehaja saya membuat latihan larian jarak jauh iaitu kira-kira dua minggu sebelum Gold Coast Marathon bermula. Selain itu, saya juga mengalami kecederaan di bahagian leher menyebabkan saya tidak meletakkan sebarang sasaran," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga berkata, ketika larian berlangsung dia mengalami cabaran antara km10 hingga km15 dengan catatan masa larian yang tidak konsisten.

Namun dia kembali berada di posisi terbaik 6km terakhir dengan catatan masa purata di bawah tiga minit 10 saat setiap km.

Katanya, kejohanan maraton antarabangsa di Gold Coast itu juga adalah antara platform latihannya bagi persediaan untuk menyertai Kejohanan World Athletics Road Running 2023 di Riga, Latvia yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.

Gold Coast Marathon 2023 disertai lebih 50 buah negara dengan menarik penyertai 25,000 peserta pelbagai kategori antaranya 42km, 21km dan 10km. Antara atlet Malaysia yang menyertai acara ini Edan Syah dan Muhaizar Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 4:58 PM