Footer Klang City Quarter Marathon dimeriahkan dengan penyertaan peserta OKU
Footer Klang City Quarter Marathon dimeriahkan dengan penyertaan peserta OKU

Klang: Lebih 2,000 peserta termasuk orang kurang upaya (OKU) menyertai Footer Klang City Quarter Marathon sempena edisi terakhir Hari Tanpa Kenderaan 2023 anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Larian membabitkan beberapa kategori seperti 10 kilometer (km) terbuka dan veteran, Fun Run (5 km) serta Fun Walk Kasih Keluarga OKU (1 km) bermula dari pekarangan pusat beli-belah Centro Mall di sini.

Yang Dipertua MPK Datin Paduka Noraini Roslan berkata acara dengan kerjasama syarikat Footer bukan sahaja bertujuan memupuk amalan hidup sihat malah mewujudkan perpaduan dan semangat kesukanan yang tinggi.

"Dalam usaha mencapai status bandar raya, kita tidak boleh meninggalkan golongan yang sebelum ini terpinggir seperti OKU. Mereka biasanya sukar untuk menyertai apa-apa aktiviti sihat seperti larian dan berjalan.

"Bagaimanapun pada acara ini terdapat 10 persatuan OKU dengan laluan khas larian disediakan. Kita lihat mereka gembira kerana diraikan dalam arus perdana dan sama-sama merasai kegembiraan seperti orang lain," katanya.

Noraini (tiga kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil beberapa pertubuhan.
Noraini (tiga kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil beberapa pertubuhan.

Dalam pada itu, Noraini memberitahu buat julung kali pihaknya berganding bahu dengan Monzo Event bagi menjayakan Hari Tanpa Kenderaan yang giat mempromosi program jasmani berkonsepkan bandar sihat rakyat sejahtera dan ke arah bandar mampan.

Selain larian, turut diadakan pameran pelbagai agensi dan cabutan bertuah.

Dalam program sama, MPK turut menyumbang RM500 kepada 10 pertubuhan OKU sebagai mengiktiraf kemampuan golongan terbabit.

Pertubuhan itu termasuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Klang Utara, PPDK Klang Selatan, PPDK Kota Raja, PPDK Meru, PPDK Bandar Botanik dan PPDK Pandamaran.

Selain itu, Persatuan Dyslexia Selangor, Persatuan Autisme Malaysia Selangor, Kelab Warga Sihat Klinik Kesihatan Botanik dan Beautiful Gate Foundation.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 7:24 PM