ANTARA aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Farm In The City.
ANTARA aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Farm In The City.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Cuti persekolahan tiba lagi dan pastinya ibu bapa teruja merancang pelbagai aktiviti mengisi masa terluang bersama anak-anak sepanjang waktu itu.

Kebiasaannya, destinasi percutian dan resort peranginan di seluruh negara antara lokasi yang menjadi tumpuan utama ibu bapa.

Namun, ramai juga ibu bapa yang memilih untuk membawa anak mereka berkunjung ke Lembah Klang khususnya bagi mereka yang tinggal di negeri berlainan.

Selain ibu kota Kuala Lumpur, kunjungan ke Lembah Klang juga kurang lengkap jika tidak berkunjung ke Selangor ataupun Putrajaya yang terletak hanya berhampiran.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya mengunjungi zoo dan ladang haiwan ternakan untuk bermanja dengan haiwan comel kesayangan.

PENGUNJUNG dibenarkan untuk memberi makan dan bermesra dengan haiwan di Husin Fauzi Farm.
PENGUNJUNG dibenarkan untuk memberi makan dan bermesra dengan haiwan di Husin Fauzi Farm.

Jika berada di sekitar Kuala Selangor misalnya, anda boleh membawa anak-anak ke taman haiwan, Husin Fauzi Farm di Kampung Bukit Belimbing.

Ia adalah sebuah mini zoo dengan pelbagai haiwan yang sukar ditemui seperti llama, alpaka, unta dan burung unta.

Menariknya, pengunjung dibenarkan menyentuh haiwan berkenaan dengan pengawasan rapi kakitangan zoo terbabit.

Pengunjung juga boleh memberi makan haiwan itu dengan makanan yang disediakan, manakala burung unta, burung merak, ayam dan rusa juga dilepas bebas di sekitar kawasan zoo berkenaan.

Namun, jika kunjungan keluarga anda hanya tertumpu di sekitar ibu negara, ada beberapa ladang ternakan lain yang boleh dikunjungi antaranya Farm In The City di Seri Kembangan, Selangor.

Ia adalah ladang peliharaan pelbagai jenis haiwan termasuk haiwan eksotik seperti pelbagai spesies kura-kura, kambing, alpaka, keldai, rusa dan banyak lain yang berkeliaran bebas.

Pengunjung juga dapat bermain dan mengambil gambar dengan haiwan eksotik seperti rakun, burung hantu dan reptilia yang jinak.

MANFAATKAN cuti sekolah dengan mendekatkan diri anak-anak kepada haiwan.
MANFAATKAN cuti sekolah dengan mendekatkan diri anak-anak kepada haiwan.

Selain itu, anda juga boleh berkunjung ke zoo peliharaan kecil, G2G Animal Garden di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Ada 80 spesies haiwan eksotik antaranya capybara, feret, unta, rakun, alpaka dan banyak lagi.

Zoo terbabit turut diserikan dengan rumah kucing, rumah terapi, taman arnab, laman ternakan kampung, santuari rusa dan rumah reptilia.

Lebih istimewa, pengunjung juga boleh membawa pulang ikan yang ditangkap untuk dipelihara.

Sementara itu, jika mahukan lokasi lebih selesa tanpa perlu berpanas, anda boleh membawa anak-anak ke IOI City Farm yang terletak dalam pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya.

Zoo mini itu memiliki pelbagai hidupan liar, serangga, hidupan akuatik dan banyak lagi. Ada juga spesies kucing bengal, tikus belanda, walabi, ikan koi dan monyet marmoset comel untuk menarik minat si kecil menyayangi haiwan.

PENGUNJUNG juga boleh membawa pulang ikan yang ditangkap untuk dipelihara.
PENGUNJUNG juga boleh membawa pulang ikan yang ditangkap untuk dipelihara.

Jadi, sama ada anda mencari tempat untuk membolehkan anak bermain sambil belajar, bermesra bersama haiwan atau hanya ingin memenuhi hari anda dengan aktiviti yang menyeronokkan, zoo mini dan ladang peliharaan boleh dijadikan pilihan dalam rancangan cuti persekolahan nanti.

Mana tahu, kunjungan pertama itu bukan sahaja memberi pengalaman menyeronokkan, malah dapat mendidik si kecil kesayangan untuk mencintai dan menghargai haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 7:01 AM