Teks dan foto Sharifah Hanim Ahmad

TERLALU ingin mendekati haiwan unik, alpaka membuatkan saya tekad mengembara ke sebelah barat wilayah Ratchaburi, Thailand iaitu Suan Phueng tempat terletaknya tarikan dinamakan Alpaca Hill kira-kira lima tahun lalu.

Destinasi berkenaan agak asing bagi pelancong dari Malaysia dan difahamkan ketika tiba di sana, saya dikatakan satu-satunya orang Malaysia berbangsa Melayu yang pernah sampai ke kawasan terbabit.

Lebih mencabar bagi pengembaraan kali ini kerana ia dilakukan secara solo tanpa ditemani rakan. Bagaimanapun, pemilik pusat tarikan itu sanggup mengurus dan mengatur perjalanan sebaik saya tiba di Bangkok.

Ratchaburi pada kaca mata saya adalah satu kawasan yang sangat berbeza dengan Bangkok dan pemandangan lebih berlatarkan hijau mungkin kerana kawasan ini terletak di pinggir bandar.

Perjalanan yang perlu ditempoh adalah lebih tiga jam dari Bangkok dan saya bernasib baik kerana dijemput selain tempat bermalam juga disediakan pemilik Alpaca Hill.

Mengapa penulis mencari alpaka? Keinginan terlalu tinggi untuk melihat alpaka kerana sekadar melihatnya di Internet selain rupanya sangat comel.

PENULIS teruja dapat peluk alpaka.
PENULIS teruja dapat peluk alpaka.

Bermulalah pencarian haiwan menyerupai biri-biri itu, tetapi memiliki leher yang jinjang. Kalau hendak melihat secara dekat alpaka ini, perlu terbang ribuan kilometer ke Peru atau Bolivia, di sebelah Amerika Selatan.

Mujurlah pencarian di Google membawa kepada penemuan tarikan di Thailand, Alpaca Hill yang turut memiliki puluhan alpaka yang diimport dari Australia.

Berbanding terbang ke lokasi lain, bagi saya tarikan di Suan Phueng antara yang terbaik kerana menepati bajet apatah lagi ketika itu mengembara secara solo.

Mengenai kawasan Alpaca Hill suasananya sangat mendamaikan dan boleh dikatakan persekitarannya seperti perkampungan di kawasan tanah tinggi Malaysia kerana selain hijau, suhunya lebih sejuk.

Memang santai terutama ketika berada dalam taman haiwan yang memiliki banyak spesies haiwan eksotik selain alpaka.

Seperti pendekatan Taman Haiwan G2G di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor, pengunjung yang berada di Alpaca Hill boleh memegang atau bermain bersama haiwan di dalam kawasan tarikan itu.

MEMBERI makan alpaka antara aktiviti boleh dilakukan pengunjung.
MEMBERI makan alpaka antara aktiviti boleh dilakukan pengunjung.

Saya membeli pas VIP iaitu pakej paling mahal ditawarkan di sini iaitu 500 bath bersamaan RM61 untuk akses segera selain mendapat keutamaan apabila melawat setiap stesen haiwan yang ada.

Misi utama mencari alpaka diteruskan dan sebaik melihat haiwan ini di depan mata tidak dinafikan ia membuat saya sentiasa tersenyum serta geli hati dengan gelagatnya.

Alpaka yang tergolong dalam keluarga unta seperti llama begitu jinak dan mudah 'mesra'. Haiwan eksotik berkenaan tidak malu dan atau takut mendekati pengunjung.

Paling penting alpaka di sini tahu untuk beraksi depan kamera. Bayangkan, saya talakan sahaja lensa kamera telefon, haiwan ini sudah sedia untuk bergambar!

Badan haiwan ini berbulu seperti biri-biri dan leher jinjang seperti unta membuatkannya tampak lucu.

Jika bernasib baik boleh lihat aktiviti mengetam bulu alpaka oleh pekerja taman haiwan terbabit kerana seperti biri-biri, bulu alpaka juga boleh menebal secara semula jadi.

RUMAH Hobbit tarikan di Alpaca Hill.
RUMAH Hobbit tarikan di Alpaca Hill.

Dianggarkan terdapat lebih 25 spesies haiwan eksotik serata dunia di Alpaca Hill termasuk spesies menyerupai badak, tetapi saiz seperti tikus dipanggil 'tiny hippo' dan marmoset iaitu spesies monyet kecil.

Kawasan pelancongan ini juga luas dan sekurang-kurangnya dua jam untuk melengkapkan lawatan ke seluruh kawasan. Dalam kawasan tarikan ini terdapat kafe, tetapi untuk Muslim dinasihatkan membawa bekalan sendiri.

Satu lagi tarikan unik dalam Alpaca Hill adalah Rumah Hobbit. Kedudukan di kawasan berbukit hijau dan rumah bersaiz kecil memiliki pintu berbentuk bulat membuatkan latar 'port' ini sempurna untuk dirakam sebagai kenangan.

Suasananya pula tidak ubah seolah-olah berada di set sebenar filem terbabit yang terletak Matamata, New Zealand.

Bagi saya, kunjungan ke Thailand semata-mata untuk melihat alpaka adalah suatu perjalanan yang sangat berbaloi kerana terdapat pengalaman lain dapat 'dikutip'.

Begitu juga pengalaman menginap di rumah inap yang disediakan pemilik Alpaca Hill. Bukan sahaja rumah inap itu selesa, malah landskap sangat menarik boleh membuatkan sesiapa berada di kawasan berasa tenang dan relaks.

Andai ada yang merancang untuk datang ke Alpaca Hill, pakej lawatan sehari dari ejen di Bangkok pun ada dan mereka akan membawa pengunjung dari luar ke lokasi di sini.

SUAN Phueng kawasan pinggir bandar yang banyak lokasi menarik.
SUAN Phueng kawasan pinggir bandar yang banyak lokasi menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 7:01 AM