AWANG, Nana kambing kerdil unik suka bermain serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
AWANG, Nana kambing kerdil unik suka bermain serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja.
Muhamaad Razis Ismail


AKSI Awang dan Nana yang berbaring atas riba sambil diusap kepala oleh pemiliknya membuatkan sesiapa sahaja geli hati dengan telatah haiwan yang berasal dari Afrika ini.

Kambing pigmi Afrika yang masing-masing berusia empat bulan ini antara haiwan peliharaan kesayangan Alim Jefferi Abdullah Aziz, 38, yang dipelihara sejak awal tahun ini.

Malah, perkongsian di akaun TikTok milik lelaki yang lebih mesra disapa Jeff mendapat maklum balas positif dalam kalangan penonton yang teruja melihat kambing unik ini yang tidak ubah seperti kucing.

Ramai ingin melihat kambing terkecil di dunia ini dengan lebih dekat.

Selain kambing kerdil, bapa tiga cahaya mata dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu turut memelihara 60 haiwan unik lain termasuk burung kakaktua, tikus jerboa, rakun dan burung unta.

Jeff berkata, Awang dan Nana mula dipelihara sejak awal tahun ini sebagai antara tarikan kepada pengunjung mini zoo yang disediakannya.

Katanya, dia tertarik dengan kambing kerdil apabila melihat rakan memelihara haiwan ini sejak tahun lalu.

"Melihat keunikan kambing ini, saya buat keputusan membeli dari rakan yang berjaya menternak haiwan baka kerdil ini di ladangnya.

JEFF bersama kambing pigmi Afrika kesayangannya.
JEFF bersama kambing pigmi Afrika kesayangannya.

MAKANAN bersesuaian dapat membantu tumbesaran kambing pigmi.
MAKANAN bersesuaian dapat membantu tumbesaran kambing pigmi.

"Selain sebagai haiwan peliharaan, Awang dan Nana menjadi antara tarikan di Mini Zoo Utara bersama 60 haiwan lain," katanya.

Menurutnya, kambing pigmi Afrika ini sangat sesuai dijadikan sebagai haiwan peliharaan di rumah kerana mempunyai karakter yang jinak dan lucu.

"Anak-anak saya dan orang sekeliling terhibur kerana kambing kerdil ini sangat suka apabila diajak bermain serta agak nakal. Awang dan Nana juga suka dibelai, mudah mesra dengan sesiapa sahaja selain sentiasa inginkan perhatian.

"Pada masa sama, ia sangat jinak dan mudah dijaga," katanya.

Dia mengakui ramai yang berminat ingin membeli kambing pigmi peliharaannya, namun terkejut apabila mengetahui harganya boleh mencecah hampir RM10,000 sepasang mengikut usia dan saiz.

"Biasanya anak kambing yang masih kecil harganya lebih murah kerana masih memerlukan penjagaan rapi berbanding kambing sudah bercerai susu yang lebih mudah dijaga," katanya.

Jelasnya, perbezaan kambing ini dengan kambing sebagai ternakan adalah sudah pasti daripada segi saiz dan karakternya.

MENDAPAT perhatian pengunjung Mini Zoo Utara.
MENDAPAT perhatian pengunjung Mini Zoo Utara.

"Kambing kerdil ini lebih sesuai dijadikan haiwan peliharaan kesayangan dan pameran kerana ia sangat suka dibelai serta bermain," katanya.

Jeff berkata, penjagaan kambing kerdil adalah sama seperti kambing yang dipelihara sebagai ternakan.

"Dari segi penjagaan makanan, saya berikan rumput dan palet.

"Kambing kerdil sangat lasak dan jarang diserang penyakit. Namun, kebersihan kambing dan kandang serta pemakanan yang sihat tetap perlu dititikberatkan," katanya.

Berkongsi berkenaan rutin harian penjagaan haiwan ini, setiap pagi dia mencuci kandang supaya ia sentiasa bersih, sekali gus mencegah serangan penyakit.

"Pada waktu tengah hari, Awang dan Nana diberi makan dedak dan pada sebelah petang kambing ini dibawa ke padang berhampiran untuk meragut rumput.

"Saya juga ambil kesempatan bermain dan melayan kerenah kambing ini di padang selama sejam sebelum membawa pulang ke kandang," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapan, pemilik dan pengasas Mini Zoo Utara ini tidak menolak kemungkinan ingin menambah jumlah kambing pigmi sedia ada untuk dibiakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 7:00 AM