RUSLAN (kanan) dan abangnya Daniyar menunjukkan hidangan tradisional Kazakhstan yang disediakan.SAIFULLIZAN TAMADI
RUSLAN (kanan) dan abangnya Daniyar menunjukkan hidangan tradisional Kazakhstan yang disediakan.SAIFULLIZAN TAMADI
Mohd Azam Shah Yaacob


Beshbarmak atau Kazy menu yang asing di negara ini. Namun, di Russia serta negara bekas jajahan Soviet Union di Asia Tengah, ia masakan paling dibanggakan penduduk di sana.

Ini kerana ia hidangan eksotik yang tiada lemak, paling mudah dihadam, mempercepatkan aliran darah dan paling cepat memanaskan badan daripada kesejukan.

Bahan utamanya, daging kuda yang direbus dengan air bergaram sehingga empuk sebelum dihidang secara panas. Di negara ini, ia hanya terdapat di Astana Restaurants (Restoran Astana), dipelopori usahawan dari Kazakhstan di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Restoran Astana dipercayai satu-satunya menyajikan menu daging kuda yang diimport khas dari Kazakhstan dan menyediakan hidangan Russia-Uzbekistan-Kazakhstan.

Pertama kali merasai menu daging kuda ini, keunikan rasanya yang kuat hanya terserlah selepas mengunyah beberapa ketika. Mungkin kerana disediakan secara rebusan, tekstur dagingnya terasa rapuh dan masin.

Pengurus Restoran Astana Ruslan Yunusmetov berkata, hidangan daging kuda itu adalah juadah utama masyarakat di sana lazimnya ketika meraikan sesuatu perayaan.

Katanya, di Restoran Astana, menu itu hanya disediakan mengikut penyediaan tradisional menerusi dua jenis hidangan iaitu Beshbarmak dan Kazy.

“Beshbarmak adalah hidangan bersaiz besar kombinasi daging kuda, lembu dan kambing rebus manakala Kazy adalah menu kecil daging kuda rebus.

“Pelanggan tidak perlu khuatir kerana hidangan dijamin halal dan disediakan mengikut syariat Islam,” katanya.

Menurut Ruslan, menu di Kazakhstan dan Uzbekistan sama seperti dihidangkan di Russia berikutan negara itu pernah dijajah dibawah kekuasaan Soviet Union.

Katanya, bagi yang ingin merasai menu unik tiga negara berkenaan, pihaknya ada menyediakan lebih 30 pilihan hidangan terdiri daripada sup, mi yang dibuat sendiri serta pastri selain dua minuman yogurt daripada susu dan peraman roti gandum.

Antara menu utama yang menarik ialah Plov, iaitu nasi berempah dimasak bersama hirisan daging dan Fried Lagman iaitu mi tarik yang dimasak bersama daging.

“Kebanyakan masakan ini berasaskan daging sama ada ayam, lembu, kambing atau kuda. Bergantung pada kehendak pelanggan.

“Ini kerana di Kazakhstan atau negara sekitarnya, menu berasaskan daging ini adalah paling popular sebagai makanan utama kami.

“Malah, ada juga menu ini hampir sama di negara lain seperti Shashlik yang dipanggil kebab namun menggunakan rempah berbeza,” katanya.

Ruslan berkata, sehingga kini pelanggannya bukan sekadar terdiri daripada orang tempatan sebaliknya dari Kazakhstan, Uzbekistan, Russia dan Kirgistan.

Pihaknya turut menyediakan khidmat tempahan katering selain perkhidmatan penghantaran makanan sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 2:06 AM