GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Sila menyorot kembali peribahasa 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga' kupasan penulis mengenai pelbagai isu semasa boleh diangap sembang santai atau seloroh geletek Mak Kiah yang latah di pagi hari.

Dewasa ini banyak isu panas berkaitan badan penguat kuasa dijelmakan dan mungkin sedikit dianak tirikan di media sosial sebagai bahan content untuk menaikkan jumlah pengikut.

Suara lantang netizen kepada sesuatu isu tular boleh mengundang kepayahan kepada seseorang. Yang berada di atas pagar pun tergelimpang di kawasan kelompok sokongan netizen yang kuat juga oleh kerana tular, ibarat kedai pisang goreng panas yang ditularkan sehingga berbaris panjang pelanggan menunggu, tapi pisang goreng tetap pisang goreng dan tidak akan menjadi mi laksa.

Masyarakat Melayu kaya dengan peribahasa. Ia diungkap sebagai alternatif kiasan bagi menyampaikan maksud. Peribahasa yang penulis ingin ketengahkan pada penulisan kali ini adalah 'Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.'

Tidak dinafikan kini isu tular menjadi satu fenomena hangat dalam media sosial dan menjadi bualan di mana-mana.

Penulis ingin menceritakan satu kisah tular yang terjadi ke atas seorang penjawat awam yang menjadi bahan ejekan seluruh warga jabatan dan kementeriannya oleh netizen ákibat nila setitik rosak susu sebelanga.

Sikap atau tingkah laku seseorang individu itu tidak mencerminkan keseluruhan ahli pasukan jabatan atau organisasinya. Jika kita mengambil kira atau pukul rata kepada semuanya, habis punah organisasi itu jadinya.

Bila kita berada dalam suasana begini, janganlah pula kita menangguk di air keruh bak kata pepatah dengan menularkannya lagi atau memanaskan keadaan semasa untuk menjadikan content dan menjadikan pengikut kita di media sosial lebih ramai.

Apa salahnya kita jadikan sesuatu yang tegang kembali reda dengan mengungkapkan kata-kata yang menenangkan jiwa bagi kedua-dua pihak.

Suatu hari penulis yang bekerja sebagai penguat kuasa di sebuah jabatan kerajaan membuat taklimat kepada pelatih baharu perihal kerja dan semua yang terkandung dalam organisasi.

Penulis menerangkan segala sudut baik dari segi tatacara kerja atau berkaitan undang-undang. Sengaja penulis menyatakan dalam Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) berkaitan kecurian dan menerangkan maksud dan intipati akta itu.

Bingkas seorang pelatih bangun dan berkata bahawa penulis telah tersalah menyebut akan seksyen itu kerana Seksyen 376 KK adalah kesalahan rogol.

Namun selepas itu penulis dengan bersahaja menyatakan: "Saya sengaja memberi taklimat salah dengan tujuan kamu tahu inilah yang berlaku di luar sana. Kamu lihat saya telah menyatakan semua seksyen dengan betul dalam taklimat tadi,  tetapi tiada seorang pun bersuara sebaliknya kamu menghukum dengan satu kesalahan yang saya lakukan. Dunia luar tidak akan pernah menghargai kamu walau kamu berbuat kebaikan sejuta kali, malangnya akan mengkritik bila kamu membuat satu kesalahan."

Terdiam semua pelatih yang baru memahami apa tujuan penulis. Jelas, melalui kisah di atas, sebab kesilapan sedikit, rosak perkara betul yang banyak.

Penulis tegaskan ini bukan cerita mengenai tidak boleh dikritik, tetapi lebih kepada isu  kewajaran dalam mengkritik kesalahan kecil, apatah lagi ia adalah kali pertama.

Apakah kewajaran sebagai pemimpin untuk merealisasikan organisasi yang baik dan menghasilkan anak buah berkualiti.

Mendidik anak buah melalui teladan. Psikologi mendidik pekerja adalah sangat kritikal lebih-lebih lagi sekarang. Peningkatan masalah di setiap organisasi berkaitan pekerja adalah lumrah. Sebagai ketua yang baik dan mempunyai hala tuju dalam organisasi mungkin tidak berdepan banyak masalah.

Gaya kepemimpinan yang baik serta menjadi contoh dan teladan kepada anak buah boleh mengembangkan dan memajukan organisasi serta membuang jauh masalah yang ada. Sikap tidak cepat melatah kepada sesuatu masalah dan mengunakan perancangan yang baik untuk menyelesaikannya adalah satu contoh terbaik.

Jika seseorang ketua cepat melatah bila digeletek dan mempunyai pemikiran ala kadar sahaja, tidak akan mampu menanganinya dengan baik. Jadi untuk menjadi pemimpin atau ketua yang baik harus membetulkan diri sendiri dahulu barulah boleh membentuk anak buah atau pekerja sempurna.

Menggalakkan pekerja atau anak buah berfikir di luar kotak.

Dalam proses persekitaran pekerjaan, pasti akan berlaku kesilapan. Pekerja berdedikasi akan sentiasa cuba membantu dan mendidik pekerja bermasalah baik dari segi tatacara kerja atau masalah peribadi, galakkan setiap pekerja tidak kira di peringkat mana supaya berfikiran di luar kotak.

Berfikiran di luar kotak bukan melebihi akal pemikiran kita, cuma keluar sedikit mencari jalan penyelesaian daripada masalah membelenggu kita dan persekitaran kerja. Gunakan Pelan A atau Pelan B atau buat Pelan C sebagai pelan kecemasan.

Ramalkan masalah yang bakal datang dan sediakan payung sebelum hujan kerana jika tidak hujan sekalipun atau masalah tidak datang, tidak rugi kita membawa payung yang tidak seberat mana.

Pekerja lelah, organisasi rebah. Organisasi dibina berdasarkan sekumpulan manusia. Pengurusan atasan dan pekerja perlu menjalin kerjasama bagi mengelak konflik.

Pekerja profesional itu manusia dan manusia mempunyai emosi. Keadaan boleh berubah akibat emosi. Janganlah sekali pekerja anda membuat kesilapan, anda lupa 10 kebaikan yang pekerja itu lakukan untuk organisasi anda.


Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 6:00 AM