Hazamin Harun
Hazamin Harun
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun menegaskan usah pukul rata kerana pendakwah dan selebriti nasyid juga insan biasa.

Menurut Hazamin, tidak wajar perkara sebegitu diadili mengikut sifir 'pukul rata' seperti kata peribahasa berbunyi 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'.

"Pada saya sebenarnya, selebriti ke pendakwah ke ustaz ke guru ke kita semua ini adalah manusia biasa yang tak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Kadang-kadang kita diuji dengan kesalahan tertentu dan kita diberikan peluang oleh Allah untuk bertaubat.

"Jadi bagi saya, kita jangan 'expect' contohnya selebriti agama, artis nasyid ke contohnya, mereka seperti maksum atau malaikat.

"Kami semua pun ada buat dosa dan kesilapan cuma Allah tutup aib dan beri peluang untuk kita bertaubat," katanya.

Tegasnya, golongan agamawan atau mereka yang bergerak di jalan Ilahi paling mudah menerima kecaman terutama pada zaman digital ini.

Katanya, setiap golongan manusia pasti melakukan kesilapan, tidak semestinya mereka berniat mempergunakan agama ke jalan yang salah.

"Bagi saya, mari kita muhasabah diri masing-masing. Seperti saya katakan, kita semua ada melakukan kesilapan namun Allah menutup aib kita.

"Jadi, kalau anda adalah selebriti agama, atau orang agama, kita perlu jaga tanggungjawab dan amanah itu supaya kita tidak menjadikan imej buruk kepada agama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 12:54 PM