GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Bersama DSP Mohd Roslan Mohd Tahir

Tular atau viral adalah perkataan hebat untuk diperkatakan pada masa dan saat ini. Ia semakin mendapat tempat dalam kehidupan tamadun komunikasi moden masa kini. Perkataan viral itu sendiri berasal daripada perkataan virus. Jika disebut virus, sudah tentu dalam minda kita terfikir akan bahaya yang boleh merebak kepada manusia lain dengan pantas.

Sama seperti viral dalam aspek dunia komunikasi media yang semakin tidak terjangkau ini, pelbagai implikasi mula terkesan terhadap kehidupan harian sosial, ekonomi dan negara. Malah, ledakan viral itu memperlihatkan satu kuasa aliran komunikasi elektronik yang disebarkan secara pantas dan meluas secara interpersonal.

Apa yang menjadi cabaran sekarang ialah isu viral itu ada kalanya bermula dengan niat murni, tetapi pelaksanaan itu mungkin salah. Ada isu viral itu membongkarkan sesuatu perkara yang tidak baik bagi satu tindakan segera daripada pihak berwajib, tetapi disalahtafsirkan atau timbul persepsi kepelbagaian. Malah, ada isu viral itu menaikkan identiti, imej dan reputasi.

Boleh dikatakan viral komunikasi ini ada yang menguntungkan dan ada yang merugikan, sama seperti virus. Kalau dilihat virus positif, ia bertukar menjadi vaksin iaitu patogen yang dilemahkan sehingga tidak berbahaya jika menyerang manusia lalu menghasilkan antibodi kepada tubuh.

Di samping itu, virus positif itu berperanan sebagai antitoksin yang menguntungkan gen manusia itu. Berbeza virus negatif yang dapat menyebabkan beberapa penyakit pada tubuh manusia. Serangan virus ini dapat merugikan manusia seperti influenza, cacar, polio, herpes, rabies, ebola, hepatitis dan demam berdarah. Kisah virus ini boleh kita lihat dalam komunikasi media sosial baharu. Antaranya, kes kehilangan pesawat MH370, tragedi MH17, banjir di Pantai Timur akhir 2014, isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembelian tanah oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji, seorang wanita mengamuk selepas merosakkan bendera parti semasa kempen pilihan raya baru-baru ini serta isu kaum dan agama yang dimanipulasikan.

Masyarakat semakin maju dan lebih terpelajar, lebih-lebih lagi pada hari ini bersikap lebih skeptikal dalam sesuatu perkara. Oleh itu, organisasi tidak boleh mengharapkan masyarakat bersetuju dengan setiap tindakan. Krisis tidak boleh dielakkan, namun kesannya boleh dikurangkan, apatah lagi dalam menghadapi isu viral. Kekuatan dalam personaliti dan organisasi perhubungan awam mempunyai peranan penting dalam pengurusan isu atau krisis. Ia membabitkan:

l

Bijak kawal situasi

Bagi menangani isu viral ini, penulis ingin mengesyorkan individu atau organisasi yang menghadapinya supaya bijak mengawal situasi, termasuk mengawal kawalan diri.

Hendaklah kita mendefinisikan masalah sebenar dan menetapkan strategi komunikasi dalam usaha menyampaikan makumat cepat dan tepat kepada masyarakat atau khalayak.

l

Di samping itu, perlu mengumpul maklumat sebanyak mungkin sebagai bukti dan benteng dalam memperjelaskan sesuatu isu. Jangan emosional atau cepat melatah.

l

Seterusnya, perlu menubuhkan pasukan pengurusan krisis yang berada dalam keadaan siap siaga walaupun secara individu.

l

Yang penting ialah satu tindakan proaktif dan bermatlamat untuk menyediakan platform sesuai supaya semua pihak dapat memahami dan mengatasi masalah secara bersama. Dalam menghadapi cabaran viral, berkomunikasi dengan pantas adalah ciri penting sebagai penentu untuk mematikan sesuatu isu viral itu.

l

Individu yang mengurus krisis perlulah menyatakan apa yang ingin diperkatakan secepat mungkin terutama isu berkaitan dengannya, apatah lagi membabitkan sebuah organisasi besar.

l

Justeru, mengadakan sidang akhbar dan kenyataan akhbar secara pantas dan harian dengan menggunakan segala akses media massa terutama media sosial baharu masa kini adalah cara terbaik sebagai usaha memberi kemudahan kepada pihak media mengakses maklumat.

l

Pihak yang mengurus krisis perlu sentiasa berkomunikasi dengan orang sekeliling dan organisasi berkait. Ini termasuk perancangan untuk mengelakkan krisis lain, talian hotline, bekerjasama dengan media dan manfaatkan penggunaan aplikasi media sosial baharu secara holistik. Isu ini berlaku daripada sikap segelintir individu yang mementingkan diri sendiri untuk kelangsungan hidup tanpa mengambil kira persekitaran atau proses kepentingan masyarakat.

Memang ada sikap sedemikian individu, tapi jumlahnya tidak ramai dalam masyarakat. Oleh kerana segelintir ini yang bersikap demikian akan menjadi titik hitam dan menggugat keharmonian masyarakat itu sendiri.

Sebagai individu dalam kumpulan masyarakat yang tahu berkenaan isu viral ini, jangan menjadi 'pahlawan papan kekunci' dengan kuasa yang ada di tangan sehingga mengulas secara bukan-bukan sama ada menyokong atau tidak menyokong pihak yang berkaitan.

Jika tidak begitu arif perihal undang-undang, kita seharusnya membawang dengan jiran yang sama tahap dengan kita saja di belakang rumah, paling tidak pun berbual pillow talk suami isteri apabila dia pulang kerja nanti. Jangan pula nanti kerana handal menjadi pahlawan papan kekunci, van hitam polis datang dengan sekumpulan SWAT mengepung rumah dan meminta kita memakai gelang besi (gari) untuk dibawa ke balai polis.

Jangan pula kita yang bertindak sebagai agensi penguatkuasaan ini melebih-lebih pula dengan bergedik di TikTok, Instagram dan sebagainya melebihkan orang awam pula.

Cukuplah sekadar ambil tahu, itu sudah memadai takut nanti anak akan kata kita yang sudah veteran ini rabun teknologi maklumat (IT) pula. Bersama kita menjaga keharmonian pasukan yang kita cintai ini dengan bermedia sosial secara penuh hemah dan bertatasusila demi menjaga nama baik kementerian atau jabatan.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2023 @ 7:01 AM