FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERSAMA DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Setiap kali menjelang tahun baharu, sering mendengar individu termasuk diri sendiri bertekad atau berusaha menjadikan tahun mendatang sebagai sebuah tahun yang indah dengan segala hajat tercapai atau paling tidak pun separuh tercapai dan tidak menemui kegagalan atau kesedihan. Azam itu sesuatu yang sinonim mengenai rancangan jangka panjang tahunan yang wajib ada dan dilaksanakan.

Biarpun sudah memasuki Februari, rasanya belum terlambat untuk penulis mengulas mengenai azam tahun baharu. Malah, ada yang mungkin tercapai setiap perancangan atau azam dibuat tidak kurang juga hanya tinggal azam atau mungkin namanya Mohd Azam yang akan sentiasa berazam.

Atau setiap kali masuk tahun baharu membuat azam lagi yang tidak akan ke mana dan tidak tercapai sehingga akhirnya. Jika tidak mahu azam hanya tinggal azam dan langsung tidak mencapai atau mendapat apa-apa melaluinya, seharusnya kita berpaksi atau menjanakan beberapa perkara atau strategi supaya azam akan terlaksana walaupun tidak mencapai 100 peratus.

Kita perlu tahu serba sedikit mengenai cara menggapai azam itu. Sedikit tip ini boleh diguna pakai setidak-tidaknya dapat sedikit ilmu walaupun cara kita berbeza atau lain pandangan bagi setiap individu terhadap hajat atau perancangan masing-masing.

l

Tetapkan satu azam sahaja, dengan ini kita dapat memfokuskan apa yang hendak dibuat melalui perancangan rapi dan bersistematik. Tetapkan hala tuju di peringkat tiga bulan pertama hingga tiga bulan kedua dan seterusnya pengakhiran yang berjaya. Jangan mempunyai terlalu banyak azam hinggakan kita tidak dapat memfokuskan kepadanya dan akhirnya menemui kegagalan.

l

Buat catatan atau tampal di dinding atau pada buku misalnya atau boleh letakkan azam kita pada papan catatan di dinding. Tulis sebenar-besarnya, 'TAHUN 2023 AKU HENDAK TURUN BERAT BADAN 20 KILO.'

l

Fokus atau memberi perhatian sangat penting bagi azam kita. Sebagai contoh, pada tiga bulan pertama adakah kita beroleh sedikit kejayaan melaluinya dan jangan suka bertangguh daripada pelan yang dibina. Sifat suka bertangguh adalah antara punca utama azam tidak tercapai.

l

Jangan menetapkan azam tidak realistik. Kadang-kadang azam yang ditetapkan itu tidak realistik dengan diri dan kita banyak terikut-ikut dengan orang di sekeliling. Contohnya azam untuk kurangkan berat badan dalam seminggu sebanyak 10kg. Itu agak mustahil, terutama untuk mereka yang belum pernah cuba untuk kuruskan badan sebelum ini.

l

Perlu konsisten dan sesuatu perkara yang kita azamkan perlu dibuat secara konsisten. Walaupun jumlah masa diperuntukkan untuk merealisasikan azam itu hanya sedikit, tapi ia perlu dilakukan secara konsisten. Jika tidak konsisten, perkara itu sedikit demi sedikit akan ditinggalkan dan dilupakan. Akhirnya, kita gagal mencapai azam itu.

l

Bina azam yang boleh dicapai diri sendiri. Sebelum membuat azam, kita terlebih dahulu perlu mengkaji dan mengenali keupayaan diri sendiri. Jangan buat azam semata-mata kerana orang lain. Letakkan azam selari dengan kemampuan kita. Contohnya, kalau kita berazam untuk menghafaz al-Quran, kenal pasti berapa yang boleh dihafal dalam masa sehari. Jangan dengan yakinnya kita tetapkan dalam masa sebulan sudah boleh hafaz seluruh al-Quran. Ia tidak mustahil, tetapi tidak realistik terutama bagi mereka yang belum pernah menghafaz mana-mana surah dari al-Quran.

l

Bina azam yang jelas dan khusus. Azam yang jelas membantu kita untuk bertindak lebih teratur dan efisien. Jika azam kita contohnya nak kurus untuk tahun ini, kita mesti tetapkan berapa kilogram yang perlu diturunkan setiap minggu dan setiap bulan.

l

Setiap hari, kita perlu diperingatkan mengenai azam yang ditetapkan. Caranya adalah dengan menulis azam itu dan pastikan ia boleh dilihat dengan jelas setiap hari. Lebih penting, pastikan kita buat apa yang sudah dirancang. Jika ia adalah semata-mata rancangan dan tidak ada tindakan, ia hanya ibarat sebuah mimpi.

l

Bercerita kepada orang terdekat. Jika kita inginkan azam menjadi kenyataan, perlu untuk kita memberitahu kepada orang terdekat seperti kawan baik, ibu, ayah atau isteri. Sentiasa bercakap dengan mereka mengenai azam kita. Biarkan azam kita terpahat dalam fikiran mereka. Secara tidak langsung, mereka turut mendoakan kejayaan kita di samping menjadi pengawal atau penggera jika mereka lihat kita lalai daripada mengejar azam itu.

l

Lakarkan garis masa. Sesuatu kerja atau azam akan lebih jelas jika kita ada garis masa dan pecahkan ia kepada beberapa kejayaan kecil. Ia membantu kita untuk mengetahui apa yang perlu dibuat sekarang, minggu hadapan atau bulan hadapan. Ia membuatkan kita berasa lebih seronok dan nampak apa yang perlu dibuat.

l

Berikan ganjaran kepada diri sendiri. Selepas kita tetapkan garis masa dan kejayaan kecil, beri ganjaran kepada setiap kejayaan kecil sudah kita capai. Contohnya, tahun lalu kita berazam untuk turun 24kg. Jadi, setiap bulan kita tentukan untuk turun berat sebanyak 2kg. Selepas kita berjaya capai sasaran itu, beri ganjaran kepada diri sendiri.

l

Berikan komitmen. Jika dilihat dari azam tahun yang sebelumnya, antara sebab azam itu gagal adalah kerana kurangnya komitmen. Apa yang dimaksudkan dengan komitmen adalah usaha bersungguh-sungguh mencapai sesuatu yang diimpikan.

Kesimpulannya, untuk memastikan azam 2023 ini tercapai adalah dengan meletakkan kesungguhan tinggi dan konsisten dalam melakukan apa yang dirancang.

Jangan sekali-kali bertangguh dalam melaksanakan sesuatu dan pastikan kita sudah membuat keputusan yang tetap. Jika kita masih berasa ragu-ragu dengan apa yang hendak dicapai, ia akan menyukarkan kita merealisasikan azam tahun ini. Jadi, kita perlu tahu apa yang bakal kita buat dan bina supaya azam atau perancangan baik itu menjadi kenyataan.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 7:00 AM