TINGKATKAN amal ibadat ketika Ramadan seperti solat Tarawih dan berzikir.
TINGKATKAN amal ibadat ketika Ramadan seperti solat Tarawih dan berzikir.
Mohd Rizal Azman Rifin

Sesetengah orang mengeluh betapa cepat waktu berlalu. Padahal, putarannya seperti biasa. Yang lambat adalah kita, selalu bertangguh dan beralasan untuk melakukan sesuatu amal kebaikan.

Benarlah firman Allah yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.” (Surah al-Asr, ayat 1 dan 2)

Diam tak diam, sekarang kita masuk minggu kedua Ramadan. Maknanya, sudah seminggu kita tidak makan dan minum serta menjaga diri daripada perkara yang membatalkan puasa sepanjang siang.

Cuba kita renung kembali bagaimana dengan puasa kita yang seminggu itu? Bagaimana gelagat kita pada waktu berbuka sama ada berbuka di rumah ataupun di mana-mana saja?

Jadi, dalam memperkatakan hal ini saya ingin berkongsi beberapa adab berkaitan puasa. Mungkin ramai yang sudah mengetahuinya. Namun, tidak salah sekiranya kita ingat-mengingati supaya amalan kita sentiasa menjadi yang terbaik.

l

Segera berbuka apabila masuk waktunya

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Umatku masih berada dalam sunahku, selagi dia tidak menunggu sehingga bintang muncul ketika berbuka.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Manusia masih berada dalam kebaikan selagi dia menyegerakan berbuka.”

Berpandukan kepada hadis berkenaan jelas menunjukkan anjuran Rasulullah SAW kepada umatnya agar menyegerakan berbuka apabila masuk waktunya. Jangan salah sangka konon dengan melewatkan waktu berbuka dapat menambahkan lagi pahala.

l

Bersahur dan melewatkannya

Daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Bersahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam Tabrani dan Ibnu Hibban pula meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur.”

Kemudian, hadis daripada Irbadh bin Sariyah yang berkata: “Rasulullah SAW memanggil aku untuk makan sahur pada bulan Ramadan. Sabda Baginda kepadaku: ‘Datanglah ke sini untuk makan hidangan yang diberkati ini.’” (Riwayat Abu Daud, Nasai, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jika berbuka kita perlu menyegerakannya, bersahur pula kita dianjurkan agar melewatkannya.

Dalam riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka dan mengakhirkan waktu sahurnya.”

l

Menyediakan juadah berbuka

Zaid bin Khalid al-Jahni menyatakan Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesiapa yang memberi makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, dia mendapat pahala seperti pahala orang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu sedikit pun.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Demikian antara adab ibadat puasa daripada sekian banyaknya. Menjaga atau mengikutinya bermakna kita menghidupkan sunah Baginda SAW. Berpuasalah dengan sempurna serta penuh pengharapan agar ia diterima oleh Allah.

Penulis ialah pensyarah Politeknik Muadzam Shah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 9:16 AM