FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Asam garam kehidupan, ada ketikanya kita rajin dan kadang kita malas bekerja kerana ada harinya mood ke laut atau mood swing terus tidak mahu membuat kerja atau datang kerja.

Suka atau tidak itu antara cara menempuh perjalanan hidup. Melihat kepada rencah dan asam garam kehidupan ini lah yang membuat kita semakin matang dan kebolehan menyelesaikan masalah harus dijadikan pengalaman dan pengajaran.

Kita pun manusia biasa. Ada masa semangat bekerja down.

Selain menjalankan tugas hakiki seharian, kita tempuhi dengan apa sahaja bidang kerja tidak kira bekerja sendiri, swasta atau kerajaan dan tidak kira peringkat mana sama ada bawahan, pertengahan atau pemilik sesebuah organisasi atau jabatan, sikap atau kehendak itu ada kalanya tidak stabil diterjemahkan sebagai 'ke laut'.

Jadi, kalau tak kena gaya, tugas hakiki ini akan terbengkalai dan tidak mencapai objektif sesebuah jabatan dan organisasi itu sendiri.

Apa itu mood ke laut atau mood swing? Mood ke laut atau mood swing adalah perubahan suasana hati yang akan nampak pada diri seseorang.

Perubahan diri ini biasanya dialami di peringkat awal dengan perubahan emosi membentuk reaksi tubuh terhadap persekitaran dan situasi.

Mood berubah-ubah ini biasa terjadi hingga ke satu peringkat tertentu sehingga membolehkannya menjadi tidak terkawal hinggakan boleh mengganggu kehidupan seharian.

Mood ke laut kritikal biasanya terjadi secara tiba-tiba hingga membuat emosi terganggu secara mendadak bercampur baur perasaan sedih dan kemurungan dahsyat hinggakan boleh menimbulkan rasa marah yang membuak-buak.

Keadaan sebegini perlu ditangani kerana boleh membuatkan individu itu menjadi terlalu stres dan mungkin menyebabkan ganguan mental.

Antara penyebab mood ke laut adalah:

l

Gangguan pemikiran. Salah satu kemungkinan penyebab mood swing adalah ketidakseimbangan kimia pada otak yang berhubungan dengan pengaturan suasana dalam jiwa dan perubahan hormon tubuh. Ketidakseimbangan ini biasanya terjadi kerana beberapa faktor berbeza.

l

Perubahan cuaca. Cuaca dapat mempengaruhi mood seseorang. Seseorang yang kurang terdedah kepada cahaya sinaran matahari biasanya mengalami penurunan kadar serotonin dalam tubuh iaitu hormon yang mempengaruhi suasana hati.

Oleh itu, seseorang yang berada di musim sejuk atau suasana dalam hujan akan mengalami perubahan suasana hati yang tak menentu.

Ada perubahan disebut dengan seasonal affective disorder (SAD) iaitu kemurungan atau depresi dipengaruhi oleh musim.

l

Makanan. Selain menambah tenaga untuk kita, makanan boleh mempengaruhi mood dengan merangsang pertumbuhan dopamin.

Dopamin adalah tindak balas kimia dalam otak yang membuat kita merasa senang, bahagia dan puas untuk mendorong kita mengulang perilaku menyenangkan itu.

l

Perubahan hormon. Perubahan hormon biasanya menjadi menjadi punca mood ke laut. Ini biasanya terjadi pada remaja memasuki era haid atau pada wanita yang mengalami pre-menstrual syndrome (PMS), kehamilan atau menopause.

l

Kesan ubat-ubatan. Mood ke laut terjadi akibat kesan sampingan ubat-ubatan seperti kortikosteroid (prednison). Bukan hanya semua itu, tetapi penggunanaan alkohol berlebihan turut menjadi faktor kepada mood tidak baik.

Ada masalah diri sendiri pada individu itu yang boleh menyebabkan mood ke laut, antaranya:

l

Sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD). ADHD antara gangguan mental paling kerap menyerang. Pesakit ADHD biasanya lebih merasakan perasaan cemas atau kekecewaan dibandingkan individu lain.

l

Gangguan Bipolar. Gangguan bipolar adalah penyakit mental yang menyebabkan pesakit mengalami perubahan suasana dalam diri yang membentuk kemurungan dan kesedihan kepada (bahagia berlebihan) atau sebaliknya.

l

Kecelaruan personaliti pinggiran (BPD). BPD menyebabkan individu sukar mengawal emosi dan pola perhubungan yang tidak stabil. Oleh itu, mood swing ekstrem sering berlaku.

l

Skizofrenia. Ia adalah gangguan jiwa serius apabila individu itu tidak dapat mentafsir realiti secara normal. Individu mengalaminya kerap memiliki masalah dalam benak pemikiran, peri laku dan emosi, sehingga perubahan perasaan hati sering berlaku.

l

Depresi. Depresi adalah gangguan suasana jiwa/hati yang menyebabkan individu merasakan sedih atau hilangnya minat pada aktiviti disukai.

l

Stres. Seseorang yang mengalami stres berisiko lebih besar mengalami perubahan suasana/jiwa hati, malah ketika seseorang mengalami stres tahap tinggi, kejadian negatif sekecil apapun biasanya menimbulkan perubahan suasana hati yang tiba-tiba.

l

Penyakit tertentu. Selain pelbagai penerangan mengenai pemikiran dan sebagainya, mood ke laut biasanya disebabkan penyakit dialami oleh sesetengah individu.

Setiap penyakit berbeza dan ubatnya turut berbeza yang boleh mempengaruhi sistem saraf pusat seperti demensia, tumor otak atau strok.

Cara mengatasi mood ke laut termasuk amalkan hidup teratur serta gaya hidup sihat, selalu bersenam yang boleh meningkatkan keperluan hormon dalam badan dan mengawal stres.

Faktor lain termasuk tidur cukup, amalkan pemakanan seimbang serta jauhi minuman keras dan pengambilan dadah.

Meditasi, yoga, membaca buku dan mendengar muzik turut membantu selain bersosial atau berkawan dengan kawan yang baik dan sudi mendengar masalah kita mungkin boleh mengatasi masalah mood ke laut.

Berdoa kepada-Nya untuk semua itu di samping mencari jalan penyelesaiannya. Insya-Allah, penulis mendoakan yang terbaik untuk kita semua.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 7:00 AM