FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Agama Islam menganjurkan supaya setiap kerja dilakukan dengan itqan (tekun) dan berkualiti. Islam sentiasa mengajak setiap Muslim bersungguh-sungguh melaksanakan kerja serta tidak malas atau berputus asa. Selain wasilah untuk mendapatkan rezeki yang halal, itqan dalam bekerja juga sebenarnya dikira sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Setiap Muslim mesti menjadi seorang yang berfikiran dan bersikap positif dalam hidupnya. Setiap hari seseorang Muslim harus bermula dengan semangat tinggi melaksanakan kerja dengan itqan dan berkualiti. Di samping keyakinan tinggi bahawa Allah SWT sentiasa menyediakan rezeki seluas-luasnya kepada setiap orang yang berusaha.

Menjadi kewajipan kepada setiap Muslim melaksanakan tugasan dan kerjanya dengan sempurna dan dengan penuh dedikasi. Segala kerja dilakukan setiap Muslim dikira sebagai ibadah. Maka, perlulah ditunaikan dengan sebaiknya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah seorang Muslim menanam suatu pohon melainkan apa dimakan dari tanaman itu sebagai sedekah baginya dan apa yang dicuri dari tanaman tersebut sebagai sedekah baginya dan tidaklah kepunyaan seorang itu dikurangi melainkan menjadi sedekah baginya." (Hadis Riwayat Muslim)

Tegasnya, semua kerja atau amalan dilakukan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT terutama jika dilaksana seikhlas hati kerana Allah dan berkualiti. Apatah lagi jika disempurnakan segala tuntutanberkait dengannya. Begitu juga apabila dilakukan dengan bersungguh dan tekun. Pastinya ia akan menatijahkan hasil kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti.

Setiap kerja mesti dilaksana dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Walau sekecil manapun kerja atau amalan dilakukan haruslah dengan niat ikhlas dan keazaman tinggi untuk melaksanakannya dengan sempurna. Mestilah ditanamkan keyakinan segalanya akan mendapat ganjaran setimpal di sisi Allah SWT. Lebih-lebih lagi apabila amalan itu dilakukan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Allah SWT menggalakkan agar semua kerja dan amalan dilaksanakan dengan sempurna dan dengan penuh keikhlasan serta amanah. Di samping itu, dituntut agar setiap Muslim berbuat baik kepada kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menetapkan perbuatan baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh maka berlakulah baik dalam hal tersebut. Jika kalian menyembelih perelokkanlah sembelihan kamu, hendaklah kalian mengasah pisaunya dan menyenangkan haiwan sembelihannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Setiap Muslim diwajibkan menjalani kehidupannya serta melaksana segala tugasan diamanahkan dengan dengan ikhlas dan jujur. Bukan sahaja dalam kerja peribadinya secara individu tetapi juga terhadap keluarga dan masyarakat di sekelilingnya. Antara tugas utama manusia melaksana
amalan dengan itqan dan mengimarahkan (memakmurkan) bumi ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya." (Surah Hud, ayat 61)

Allah SWT tidak menghendaki seseorang itu melakukan kerja atau amalan semata-mata. Bahkan, segala usaha dan amalannya adalah untuk mencapai kejayaan di dunia serta reda dan ganjaran daripada Allah SWT di akhirat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah al-Taubah, ayat 105)

Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW menunjukkan kelebihan serta fadilat itqan dalam melaksanakan kerja atau amalan. Allah SWT akan membongkar kembali segala amalan manusia di dunia ini pada hari akhirat nanti bersama ganjaran bakal diterimanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang hamba jika setia kepada tuannya dan beribadah dengan baik kepada Tuhannya maka baginya mendapat dua pahala." (Hadis Riwayat Bukhari)

Itqan dalam bekerja akan menghasilkan manfaat yang banyak kepada individu dan masyarakat. Antaranya ialah ganjaran pahala yang berganda daripada Allah SWT. Bukan sahaja bermanfaat kepada seorang Muslim itu secara individu, malah kebaikan tersebar kepada seluruh masyarakat.

Seseorang yang sentiasa melaksanakan kerja dan amalannya dengan itqan akan sentiasa muhasabah (menghitung) kualiti amalannya. Dia akan menghindari sifat riya', nifaq dan mengharapkan ganjaran dunia semata-mata. Kesedarannya bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan serta memantau segala gerak-gerinya akan menjauhkan dirinya daripada sifat-sifat tersebut.

Seterusnya, seorang Muslim yang itqan dalam kerja dan amalannya pasti akan mampu merealisasikan kejayaan masyarakat Islam di mana sahaja dia berada. Beliau akan menjadi aset penting terutama dalam menghadapi kemajuan dan kecanggihan musuh Islam.

Kesimpulannya, perkara paling penting menjadi garis panduan Muslim yang itqan dalam amalanya ialah pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 7:00 AM