SIFAT ikhlas dalam bekerja ini sangat dituntut kerana daripada keikhlasan inilah yang akan dimaksudkan dengan itqan.
SIFAT ikhlas dalam bekerja ini sangat dituntut kerana daripada keikhlasan inilah yang akan dimaksudkan dengan itqan.
Dr Nor Hazrul Mabul Salleh

Penanda aras kepada sasaran pencapaian sesuatu organisasi mahupun individu biasanya ditetapkan pada awal tahun. Manakala pada setiap akhir tahun, pencapaian sebenar akan dinilai berdasarkan kepada prestasi yang telah dicapai.

Kebanyakan organisasi meletakkan target pencapaian Key Performance Indicator (KPI) adalah seratus peratus secara pointer (markah) yang dikira secara terperinci bagi setiap tugasan ataupun skop tugas yang telah dipersetujui bersama antara Pegawai Penilai dan Pegawai Yang Dinilai (PYD). Bermakna, sepatutnya setiap pekerja mesti mencapai markah penuh barulah dikira sebagai mencapai sasaran kerja. Manakala kakitangan yang tidak mencapai target tersebut akan dikira dengan beberapa kategori tertentu hinggalah tahap boleh diberi amaran atau dibuang kerja. Perkembangan yang menarik untuk dilihat terutamanya dalam sektor awam ialah setiap kakitangan sama ada daripada gred paling rendah sehinggalah gred paling tinggi akan bersungguh-sungguh mempastikan KPI tahunan tercapai. Namun, ia seolah-olah menjadi agenda pada pertengahan dan akhir tahun sahaja. Iaitu apabila PYD diminta untuk memperakukan markah yang diberikan oleh ketua masing-masing. Pada masa sama, ada sebahagian kakitangan yang mengambil kesempatan daripada sistem penilaian yang agak objektif ini untuk mengejar cita-cita seperti kenaikan pangkat dan sebagainya. Sepatutnya, pemantauan dan rasa tanggungjawab setiap kakitangan untuk menunaikan tugasan yang dipersetujui sejak awal tahun itu berlaku sepanjang tahun semasa melaksanakan tugas. Bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan KPI, tetapi demi menunaikan amanah.

Rentetan daripada fenomena ini, berlakunya perkara-perkara tidak sepatutnya di antara waktu dari awal tahun hingga pertengahan tahun dan akhir tahun. Lompang di antara waktu-waktu itu selalunya dilalui seolah-olah untuk semata-mata melaksanakan tugasan sekadar mengikut perintah yang dikeluarkan oleh ketua atau majikan. Kerja-kerja juga ada yang dilakukan sekadar melepas batuk di tangga. Oleh itu, sangat banyak aduan daripada masyarakat terutamanya berkaitan perkhidmatan yang disediakan sama ada dalam kalangan syarikat swasta ataupun agensi kerajaan. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah dibuat secara tekun." (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Menjadi kelaziman untuk meletakkan sasaran dan azam baharu pada permulaan tahun baharu. Namun, sebagai seorang pekerja Muslim, nawaitu yang sebenar apabila melaksanakan setiap tugasan ialah untuk mencapai tahap yang terbaik. Tidak menjadi persoalan sama ada dalam bidang perkhidmatan, perniagaan atau pembuatan dan lain-lain. Setiap kerja yang dilakukan mestilah dengan niat yang betul iaitu kerana Allah. Sifat ikhlas dalam bekerja ini sangat dituntut kerana daripada keikhlasan inilah yang akan menghasilkan kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti. Inilah yang dimaksudkan dengan itqan di dalam hadis di atas. Seseorang yang menunaikan tugas dengan ikhlas sudah pasti akan sentiasa mengharapkan usaha atau amalnya diterima Allah sebagai ibadah. Apatah lagi bila diyakini bahawa setiap amalannya akan dilihat dan dihisab oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." (Surah al-Taubah, ayat 105)

Muslim beriman pastinya mengetahui bahawa setiap tindak-tanduk dan kerja yang dilakukan di dunia ini akan dikira sebagai ibadah jika dikerjakan dengan ikhlas dan itqan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." (Surah al-An'am, ayat 162-163)

Demi mencapai kecemerlangan dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan semestinya memerlukan pengetahuan serta kemahiran yang berkaitan dengan bidang tugas. Beberapa kemahiran asas yang diperlukan setiap pekerja seperti kemahiran komunikasi dan interaksi. Manakala, antara kemahiran yang sangat penting juga ialah kemahiran mengendalikan dan menyelesaikan masalah. Setiap bidang yang melibatkan manusia tidak akan sunyi daripada masalah. Masalah bukan untuk dibuang, tetapi apabila ia datang maka hendaklah ditangani dan diselesaikan dengan cara yang bijaksana. Bukanlah menjadi neraca kepada kehebatan seseorang itu, khususnya sebagai ketua apabila tidak menerima masalah. Tetapi, seorang yang bijaksana ialah apabila dapat menangani masalah dan menyelesaikan dengan hikmah.

Insan teragung dan menjadi qudwah (contoh ikutan) kita ialah baginda Rasulullah SAW. Baginda bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku." (Hadis Riwayat Ibnu Majah

Sebagai meneruskan kecemerlangan dalam melaksanakan kerja untuk mencapai KPI, setiap Muslim mestilah bermula dengan niat yang ikhlas dan mensasarkan kualiti kerja terbaik. Seterusnya, menjadikan matlamat kerja sebagai ibadah yang akan menerima ganjaran yang sebaiknya di sisi Allah SWT.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 5:59 AM