TINAJUAN orang ramai di pusat tumpuan menjelang sambutan tahun baharu 2022 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
TINAJUAN orang ramai di pusat tumpuan menjelang sambutan tahun baharu 2022 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

MENJELANG akhir tahun, setiap individu mula mencongak apa akan dirancang untuk tahun seterusnya. Manakala, pencapaian tahun sebelumnya biasanya dilihat sebagai pengalaman yang sudah berlalu. Dalam situasi menghadapi pelbagai cabaran hari ini, pastinya kita lebih memerlukan perancangan lebih teliti dan sistematik terutama dalam mendepani kemajuan dalam semua bidang terutama teknologi komunikasi.

Dalam merancang untuk kemajuan pada masa hadapan, perlulah dilihat kepada keperluan semasa dan jangka panjang. Untuk mendapat hasil terbaik, perancangan perlulah berdasarkan kajian teliti. Prestasi yang dicapai pada tahun sebelum perlulah dijadikan asas untuk meletakkan perancangan yang lebih baik untuk tahun seterusnya. Menjadi kelaziman setiap orang merancang untuk satu atau dua tahun ke hadapan sahaja. Namun, sebagai Muslim, kita meletakkan jangka masa lebih panjang sehingga akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77)

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menganjurkan kita meletakkan wawasan kehidupan yang sebenar adalah negeri akhirat. Bagaimanapun, oleh kerana tempat kita berusaha adalah ketika hidup di dunia ini, maka hal ehwal keduniaan itu juga tidak boleh dipinggirkan. Bahkan, perkara keduniaan inilah yang sepatutnya dijadikan hasilnya adalah tuaian ataupun ganjaran pahala yang akan diterima pada hari akhirat nanti.

Dalam konteks seorang Muslim, kita hendaklah merancang kehidupan kita untuk dunia dan akhirat. Seorang Muslim sepatutnya menjadi orang yang terbaik kerana anjuran Nabi SAW mengajak supaya seorang Muslim itu bekerja untuk dunianya dengan sebaik mungkin sehingga seorang Muslim itu sepatutnya menjadi orang yang terbaik.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik." (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Maka, sebagai seorang Muslim kita sepatutnya membuktikan bahawa kitalah umat terbaik. Oleh itu, apabila merancang wawasan masa hadapan, seseorang itu mestilah meletakkan matlamat akhir dalam setiap perancangan kehidupannya adalah untuk mencapai wawasan akhirat.

Wawasan Akhirat bermaksud mendapat balasan syurga daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara itqan (tekun)." (Riwayat al-Thabarani)

Melalui hadis ini, kita dapat fahami bahawa matlamat Muslim itu apabila melakukan kerja dunia ataupun amal akhirat hendaklah pada tahap itqan (kualiti terbaik). Daripada hadis ini juga dapat difahami bahawa setiap Muslim tidak boleh sambil lewa ataupun tidak bersungguh-sungguh apabila melakukan pekerjaan. Seterusnya, membuktikan bahawa orang Islam adalah umat terbaik.

Dalam menghadapi permulaan tahun baru ini, sudah pasti antara perkara yang menjadi keutamaan adalah perkara yang melibatkan pencapaian peribadi dan organisasi, secara khususnya memulihkan ekonomi. Pencapaian secara peribadi sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah berlandaskan wawasan akhirat yang perlu dicapai oleh setiap Muslim. Adapun pencapaian dalam berorganisasi sama ada organisasi swasta ataupun kerajaan maka antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian besar adalah maslahat umat.

Kita pasti di pihak kerajaan terutamanya akan mengambil kira perkara ini sebagai perkara utama khasnya semasa negara menghadapi cabaran hebat seperti cabaran pandemik yang belum berkesudahan. Manakala, secara peribadi dan individu pastinya akan memastikan perancangan yang terbaik untuk tahun hadapan. Khususnya dalam situasi negara yang begitu banyak menghadapi cabaran semasa seperti pandemik yang belum berakhir dan bencana alam yang tidak dijangka pada akhir-akhir ini umpamanya, musibah banjir.

Apabila telah meletakkan perancangan untuk masa akan datang, seterusnya usaha bersungguh-sungguh pula mesti dimulakan dan bersikap optimis. Tanpa usaha bersungguh segala perancangan tidak menjadi kenyataan. Bermula dari peringkat pelajar di sekolah, sehinggalah kepada penuntut di universiti ataupun orang dewasa di alam pekerjaan seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai hasil ataupun matlamat daripada perancangan yang ditetapkan. Kita akan mendapat hasil yang baik sekiranya bersungguh-sungguh dan berusaha dengan penuh yakin seiring komitmen berterusan.

Maka, setiap pihak haruslah menggandakan usaha untuk mencapai kejayaan cemerlang. Menjadi adat dunia pada hari ini, hanya kecemerlangan yang dipandang dan diambil kira. Sekiranya mencapai kejayaan 'sekadar biasa' pastinya akan mengundang pelbagai cabaran dan persaingan pada masa hadapan. Setiap orang mestilah meletakkan sasaran dalam setiap yang dilakukan untuk mencapai tahap paling cemerlang.

Tegasnya, merancang untuk masa hadapan sangat dituntut. Bahkan, dalam kehidupan seorang Muslim juga sentiasa diajar agar sentiasa merancang masa hadapan seperti menguruskan masa dengan baik, berusaha bersungguh-sungguh di dalam setiap pekerjaan dan istiqamah (berterusan) apabila melakukan sesuatu usaha.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 5:55 AM