FOTO hiasan. FOTO Mohd Amin Jalil.
FOTO hiasan. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap manusia tidak akan terlepas daripada penilaian Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalannya).” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Islam sangat adil dalam merencana peraturan. Tidak ada seorang pun umat Islam yang dizalimi kerana semua ketetapan menjurus kepada tujuan utama manusia diciptakan di atas dunia iaitu untuk tunduk menyerahkan sepenuh ketaatan kepada Allah SWT.

Pahala dan dosa menjadi instrumen jelas untuk menilai prestasi seseorang hamba sama ada layak ke syurga atau sebaliknya. Perkara itu dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: “Dialah (Allah) yang mentakdirkan adanya mati dan hidup, untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa (membalas amalan), lagi Maha Pengampun, (bagi yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Di samping adanya pahala dan dosa, Islam membuka pintu seluas-luasnya kepada manusia yang mahu kembali kepada Allah SWT.

Tujuan utama penciptaan neraka itu bukanlah untuk memenuhkannya dengan golongan yang melakukan kesalahan. Namun, yang kekal di dalamnya adalah golongan sombong untuk kembali bertaubat kepada Allah SWT selepas melakukan dosa dan kesalahan.

Peraturan yang ditetapkan dalam Islam untuk menjaga kebajikan dan kemaslahatan diri setiap individu Muslim seperti terkandung dalam Maqasid al-Shariah.

Maqasid ialah objektif yang diletakkan syarak dalam mensyariatkan hukum. Islam sangat menitikberatkan penjagaan agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta benda setiap umatnya.

Sehubungan itu, umat Islam perlu sedar mereka perlu menerima ketetapan yang ditentukan Islam dengan penuh keyakinan.

Jangan ada dalam kalangan umat Islam berasa sangsi dengan ketetapan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal, kepada golongan yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih daripada Allah.” (Surah al-Ma’idah, ayat 50)

Sebagai umat Islam yang patuh dan tunduk kepada setiap ketetapan dalam Islam, kita perlu berusaha untuk memelihara agama Islam.

Setiap perlakuan umat Islam memberi kesan positif dan negatif. Sebab itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mempamerkan akhlak yang menunjukkan keindahan Islam.

Ajaran Islam adalah satu manhaj kehidupan yang memperincikan tatacara bagi sebuah kehidupan yang diredai Allah.

Banyak mata yang memandang dan memerhatikan setiap tindakan orang Islam. Sekiranya tindakan umat Islam tidak mempamerkan keindahan, maka ia adalah sesuatu yang amat merugikan.

Islam tidak akan jatuh dengan tindakan buruk umatnya namun imej diri individu Muslim itulah sebenarnya akan jatuh dan menerima kesan negatif.

Umat Islam dituntut untuk memelihara Allah SWT serta segala hak-Nya sebagai Pencipta. Bagaimana cara untuk memelihara Allah SWT?

Ia dinyatakan dalam satu hadis diriwayatkan Ibn Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu dapati-Nya di hadapanmu.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Al-Imam al-Nawawi ketika memperincikan hadis itu menyatakan, memelihara Allah SWT bermaksud memelihara hukum-Nya, hak-Nya, perintah-Nya, mematuhi larangan-Nya dengan mengerjakan dan meninggalkan sesuai dengan ketetapan syariat Islam.

Allah SWT akan menganugerahkan ganjaran istimewa kepada setiap hamba-Nya yang sentiasa memelihara ketetapan-Nya dari segi hukum, hak, perintah dan larangan-Nya.

Ganjaran pemeliharaan Allah SWT kepada golongan itu menjadi bukti kasih sayang Allah SWT akan sentiasa bersama golongan yang patuh kepada-Nya.

Tiada satu pemeliharaan pun yang dapat menandingi pemeliharaan Allah SWT kepada kita semua.

Bagi setiap hamba yang memelihara ketetapan-Nya, Allah SWT akan sentiasa memberi pertolongan kepada hamba berkenaan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): ‘Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.’” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 12:25 PM